PBB sambut baik tawaran Huthi henti serangan di Arab Saudi 


Utusan khas PBB ke Yaman, Martin Griffiths (tengah) menggesa semua pihak mengambil peluang ini untuk menamatkan konflik berdarah di negara itu.– Gambar EPA, 22 September, 2019.

DELEGASI Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu ke Yaman mengalu-alukan tawaran pemberontak Huthi untuk menghentikan serangan ke atas Arab Saudi, dan berkata ia mungkin akan menamatkan konflik yang berlartan di negara itu.

Pelaksanaan inisiatif itu oleh pemberontak Huthi “mempu menyampaikan mesej yang sangat kuat bagi kesanggupan untuk menamatkan perang,” kata Utudan Khas PBB ke Yaman Martin Griffiths.

Pemberontak Huthi yang disokong Iran, yang menguasai ibu negara Sanaa dan bahagian lain di Yaman, menentang tentera bersekutu diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan diiktiraf antarabangsa sejak lima tahun lalu.

Griffiths memuji hasrat untuk penyelesaian politik bagi menamatkan konflik dalam satu kenyataan yang dikeluarkan ibu pejabat PBB di New York.

Pada Jumaat, kumpulan Huthi menawarkan untuk menghentikan serangan ke atas Arab Saudi sebagai sebahagian daripada usaha damai.

Arab Saudi menerusi Menteri Luar Adel al-Jubeir bagaimanapun memberi maklum balas pada Sabtu, “Kami menilai pihak lain berdasarkan tindakan mereka, dan bukan berdasarkan kata-kata, jadi kita akan lihat sama ada mereka akan lakukan atau tidak.”

Griffith menegaskan kepentingan untuk mengambil peluang ini dan terus bergerak ke hadapan dengan langkah yang perlu bagi mengurangkan keganasan, peningkatan ketenteraan dan retorik yang tidak akan membantu proses damai.

Pengumuman itu dibuat oleh kumpulan Huthi selepas beberapa serangan dron minggu lalu ke atas loji minyak Arab Saudi, yang menjejaskan separuh daripada pengeluaran minyak Arab Saudi sekali gus memberi kesan terhadap pasaran sumber tenaga itu.

Kumpulan Huthi mendakwa bertanggungjawab dalam serangan itu, namun Amerika Syarikat membuat kesimpulan serangan itu melibatkan peluru berpandu dari Iran. – AFP, 22 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen