PIHAK berkuasa Mesir bertempur dengan ratusan penunjuk perasaan anti-kerajaan di bandar pelabuhan Suez, Mesir pada Sabtu yang mana pihak polis bertindak melepaskan tembakan gas pemedih mata dan menggunakan peluru hidup, menurut penduduk yang turut menyertai demonstrasi berkenaan.
Ratusan warga Mesir di Suez berhimpun dua malam berturut-turut selepas membuat gesaan menerusi internet untuk menentang Presiden Abdel Fattah al-Sisi.
Namun mereka berdepan dengan pasukan keselamatan yang menyekat jalan dan menggunakan kereta perisai di Jalan Al-Arbaeen, tengah Suez.
“Terdapat kira-kira 200 orang. Mereka (pasukan keselamatan) menembak gas pemedih mata, peuru getah dan peluru hidup dan ramai yang cedera,” kata salah seorang peserta yang menyertai demonstrasi berkenaan namun enggan identitinya didedahkan kepada AFP.
Seorang lagi penduduk, yang juga enggan dikenali berkata, gas pemedih mata sangat tebal dan ia mencapai blok apartmen beberapa kilometer dari kawasan berkenaan.
“Hidung saya mula sakit. Baunya merebak sehingga ke balkoni. Saya juga lihat beberapa remaja berlari dan sembunyi di kawasan kejiranan kami,” kata seorang wanita.
Menurut pasukan keselamatan, terdaat ratusan penunjuk perasaan namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai pihak berkuasa yang bertindak balas.
Demonstrasi berkenaan tercetus selepas ahli perniagaan dalam buangan dan kini menetap di Sepanyol, Mohamed Aly membuat gesaan menerusi internet, menuduh Sisi terlibat rasuah dan menggesa agar pemimpin itu digulingkan.
Mesir mengharamkan demonstrasi di bawah undang-undang yang digubal pada 2013 dan perintah darurat masih berkuatkuasa.
Di bawah undang-undang itu pihak berkuasa melancarkan operasi memburu pembangkang, memenjarakan ribuan golongan agama serta aktivis sekular dan blogger terkenal.
Namun ia tidak menghalang ribuan warga Mesir menuju ke Medan Tahrir yang menjadi kemuncak revolusi pada 2011, di tengah ibukota Kaherah pada Jumaat.
Di Kaherah sahaja, sekurang-kurangnya 74 orang ditahan, menurut sumber pasukan keselamatan dan wartawan AFP melaporkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan. – AFP, 22 September, 2019.
Komen