Bekas ahli Umno tak mungkin cari tempat dalam PKR, kata penganalisis


Jason Santos SM Amin

Menurut penganalisis, pengambilan anggota Umno pada ketika ini akan membawa kepada krisis kepimpinan dalam PKR di masa akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2019.

TIDAK seperti Bersatu, PKR Sabah tidak akan merekrut bekas anggota Umno kerana kemasukan mereka akan mengubah imbangan kuasa dalam parti itu, kata penganalisis.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung berkata ahli-ahli Cina yang kini muncul sebagai kumpulan dominan di PKR negeri dan kemasukan bekas pemimpin Umno boleh menjadi cabaran kepada pengaruh mereka.

Beliau berkata pengambilan anggota Umno pada ketika ini akan membawa kepada krisis kepimpinan dalam PKR pada masa akan datang.

“Sekiranya bekas pemimpin Umno dimasukkan, kek harus dibahagikan kepada kepingan yang lebih kecil. Di dalam PKR sendiri terdapat pelbagai kumpulan dan saya percaya mereka tidak mampu untuk kehilangan kedudukan sekarang dalam parti.

“Di PKR Sabah, orang Cina seolah-olah menjadi kumpulan yang dominan dan diikuti oleh kumpulan etnik KadazanDusunMurut (KDM),” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

Pemimpin PKR Sabah Christina Liew, Roland Chia dan Kong Hon Ming adalah Cina sementara Raymond Ahuar dan Jonathan Yassin adalah KDM.

Umno Sabah sebahagian besarnya didominasi oleh Bumiputera Muslim dan kumpulan etnik Bajau dan Suluk di Sabah.

Lee berkata sebelum Liew mengambil alih sebagai pengerusi PKR Sabah, terdapat pengagihan kuasa yang lebih adil di bawah pemimpin terdahulu, Ansari Abdullah, Lajim Ukin, Wilfred Bumburing dan Jeffrey Kitingan.

PKR mempunyai lebih daripada 150,000 ahli di seluruh negeri dan baru-baru ini Bersatu mendakwa mempunyai hampir 200,000 ahli.

Tidak mengejutkan jika PKR merupakan parti pilihan segelintir bekas ahli Umno kerana presidennya Anwar Ibrahim bakal menjadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2019.

Ketua Umno Sabah Bung Mokhtar Radin memberitahu The Malaysian Insight cabang itu telah kehilangan kira-kira 40,000 ahli sejak Mei tahun lalu.

“Umno Sabah sekarang mempunyai 525,000 ahli, sebelum pemilihan ada 565,000,” katanya.

Sejak Disember lalu, apabila para pemimpinnya berundur secara beramai-ramai, cawangan parti itu telah menyaksikan lebih ramai ahli meninggalkan Umno daripada permohonan untuk menyertainya.

PKR Tuaran pada bulan Ogos mengakui menerima 935 bekas anggota Umno.

“Tetapi saya tidak melihat sebarang usaha aktif oleh PKR untuk memujuk bekas anggota Umno untuk menyertai parti sejak daripada itu,” kata Lee lagi.

Bekas anggota Umno, Pandikar Amin Mulia, yang merupakan bekas Speaker Dewan Rakyat, dan Salleh Said Keruak, dikhabarkan akan menyertai PKR, namun pengerusi Sabah, Liew menafikan hal tersebut.

PKR Sabah telah mengumumkan secara jelas selepas pilihan raya umum bahawa ia tidak akan menerima bekas ahli Umno ke dalam parti itu.

Seorang pemerhati politik berkata PKR telah menolak Adun Sugut James Ratib dan Adun Balung Osman Jamal yang cuba menyertai parti itu tahun lepas melalui presidennya, Anwar Ibrahim.

Ratib kemudian menyertai Upko dan Osman pula menyertai Warisan.

“Jelas juga, kebanyakan bekas pemimpin Umno lebih suka menyertai Warisan yang diketuai Mohd Shafie Apdal atau Bersatu yang diketuai oleh Hajiji Mohd Noor di Sabah.

“Bersatu diwujudkan untuk menjadi rumah bagi bekas ahli Umno untuk menjadi sebahagian daripada parti pemerintah dan oleh itu Bersatu terdiri sebahagian besarnya daripada bekas ahli parti Melayu itu,” kata pemerhati politik tersebut. – 22 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen