BUKAN semua industri boleh mengamalkan “kerja dari rumah” terutama mereka yang bekerja secara intensif, kata Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).
FMM memberi maklum balas terhadap saranan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan yang mahu para majikan melonggarkan kakitangan mereka untuk bekerja dari rumah ketika jerebu masih berada di tahap membimbangkan.
Presiden FMM Soh Thian Lai memberitahu The Malaysian Insight yang bekerja dari jauh adalah tidak praktikal dalam industri perkilangan kerana pengeluaran produk berada di kilang-kilang.
Beliau menambah bahawa loji dan pejabat dilengkapi dengan pengudaraan yang baik akan meminimumkan kesan persekitaran berjerebu yang melanda negara kini.
Di samping itu, beliau turut menjelaskan bahawa majikan juga perlu mengikuti atas nasihat dan arahan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) bagi mengurangkan kesan jerebu dan memberi bantuan yang relevan kepada kakitangan mereka.
__full.jpg)
Sementara itu, pengarah eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan pula ketika ditemui telah mempersoalkan apa yang akan berlaku jika pekerja yang bekerja dari rumah cedera semasa waktu bekerja.
“Adakah mereka akan dilindungi oleh insurans mereka,” soal Shamsuddin.
“Kemalangan yang berlaku ketika pekerja sedang menuju ke tempat kerja, atau di tempat kerja, adalah dilindungi. Tetapi bagaimana dengan pekerja yang bekerja dari rumah?”
Skim Pampasan Pekerja meliputi kecederaan peribadi yang dialami oleh sebab kemalangan atau penyakit disebabkan pekerjaan semasa mereka bekerja.
Oleh itu, beliau berkata kerajaan harus mengeluarkan dasar-dasar pampasan dengan jelas bagi mengelakkan pertikaian di masa depan.
Mengakui bahawa niat kerajaan adalah baik, beliau menambah bahawa industri yang boleh mengamalkan amalan sedemikian (bekerja dari rumah) boleh mempertimbangkan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja dari jauh.
Sebagai contoh, pekerjaan dalam bidang jualan boleh dilakukan dari rumah, kerana ia melibatkan transaksi dalam talian. – 22 September, 2019.
Komen