KERAJAAN harus berhati-hati dalam menjual aset negara secara besar-besaran supaya tidak dilihat terdesak, kata bekas Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim.
Khalid berkata tindakan kerajaan yang dilihat gopoh itu akan menyebabkan aset-aset yang hendak dijual dinilai dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.
“Ini satu keadaan yang tidak akan menambah harta negara, bermakna kita sudah mula jual ‘kain baju’ kita. Yang paling saya takut apabila orang tahu syarikat hendak bankrap, harganya akan jatuh.
“Itu sebabnya kita kena berjaga-jaga dalam buat urus niaga. Kita tidak boleh tunjukkan kita ghairah sangat hendak jual harta benda, sebabnya kita tidak cukup duit.
“Maknanya orang sudah tahu, kalau orang nak beli sejuta, dia akan tawar hingga RM500,000 sahaja,” kata Khalid dalam forum Cabaran Dasar Ekonomi Baru di era Malaysia Baru di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.
Beliau mengulas usaha kerajaan Pakatan Harapan menjual kepentingan bernilai puluhan bilion ringgit dalam beberapa syarikat strategik.
Ia termasuk pegangan dalam IHH Berhad, Sapura Upstream, Acibadem Sigort, Telco M1, Boustead Plantation, Axiata Digital dan Hotel Royale Chulan.
Turut menjadi perhatian adalah saham Khazanah Nasional dalam UEM Sunrise, UEM Edgenta, UEM Builders, Cement Industries of Malaysia dan Malaysia Airport Holdings Berhad.
Penjualan saham berkenaan dipertahankan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam yang menjelaskan ia bertujuan untuk mengurangkan hutang lebih RM1 trilion tinggalan kerajaan BN
Namun Khalid memberi amaran, jualan kepentingan itu akan menyebabkan kerajaan sukar untuk mencari sumber kewangan baru untuk membuat pembangunan.
“Kita kalah dua benda, harta itu sudah tidak ada lagi. Dan hutang pula kita terpaksa cari duit lain untuk tambah lagi.
“Ini sukar, kerajaan tidak ada duit, tetapi hendak buat pembangunan, dan bagaimana caranya hendak jaga harta supaya jangan dijual pada harga yang tidak sesuai,” kata tokoh korporat itu lagi. – 21 September, 2019.
Komen