Persatuan Syiah akan sertai sidang hak asasi Suhakam


Mohd Farhan Darwis

Suhakam memberi jaminan akan melibatkan mereka dalam persidangan hak asasi manusia selepas mendengar aduan mengenai layanan pihak berkuasa agama ke atas pengikut Syiah di Malaysia. – Gambar AFP, 21 September, 2019.

PERSATUAN Syiah Malaysia akan menyertai persidangan anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia akan datang, kata pengerusi persatuan itu Kamil Zuhairi Abdul Azizi.

Suhakam memberi jaminan akan melibatkan mereka dalam persidangan hak asasi manusia selepas mendengar aduan mengenai layanan pihak berkuasa agama ke atas pengikut Syiah di Malaysia.

“Beliau minta kita ikut serta dalam persidangan hak asasi manusia yang selalunya kita diabaikan.

“Kita minta juga kepada Suhakam supaya libatkan kami dengan mereka menjadi orang tengah,” tambahnya.

Tambahnya persatuan itu akan mengikut saranan suruhanjaya hak asasi untuk mengadu tindakan pihak berkuasa agama ke atas penganut fahaman itu kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

“Suhakam sarankan kami buat pertemuan dengan pihak berkuasa seperti pesuruhjaya hak asasi OIC Malaysia yang baru dilantik, Ahmad Azam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selain itu, Suhakam juga menasihati mereka untuk bertemu pihak pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Selangor) dan Jakim Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“(Suhakam saran) supaya diadakan dialog secara baik bagi selesaikan masalah ini, itu adalah solusi jangka panjang,” katanya lagi.

Jelasnya siri pertemuan itu yang berakhir semalam adalah untuk mengadukan kekasaran dilakukan pihak berkuasa semasa operasi ke atas upacara keagamaan dilakukan kumpulan tersebut.

Katanya ia melibatkan operasi di Gombak, dan beberapa tempat di Johor Baru dan Kluang.

Suhakam dalam kenyataan pada 9 September menyuarakan kebimbangan terhadap pelanggaran hak asasi dalam serbuan pihak berkuasa dalam operasi tersebut.

Ia menyebut, kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil perlu menghormati dan bertolak ansur terhadap amalan agama setiap individu. – 21 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen