Sarawak arah siasat punca hutan Sri Aman terbakar


Desmond Davidson

Uggah hari ini memeriksa lokasi kebakaran dan bertemu dengan pasukan yang berhempas pulas sepanjang hari dalam tempoh lima hari yang lalu. Beliau mengarahkan laporan terperinci mengenai punca kebakaran diserahkan kepada pihaknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2019.

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana diarahkan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran hutan dan tanah gambut di Sri Aman, Sarawak yang  menyumbang kepada kualiti buruk udara sepanjang minggu lalu.

Walaupun paras indeks pencemaran udara di Sri Aman menurun secara dramatik dari paras tertinggi di seluruh negara iaitu 414 (berbahaya) pada pukul 1 tengahari semalam hingga 107 (tidak sihat) pada 5 petang hari ini, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Douglas Uggah Embas, yang mengetuai jawatankuasa tersebut, mengatakan kejadian sedemikian tidak harus berulang sekali lagi.

Uggah hari ini memeriksa lokasi kebakaran dan bertemu dengan pasukan yang berhempas pulas sepanjang hari dalam tempoh lima hari yang lalu. Beliau mengarahkan laporan terperinci mengenai punca kebakaran diserahkan kepada pihaknya.

Beliau turut mengarahkan supaya Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Bahagian Penduduk Sri Aman, Indit Bangai, bekerjasama dengan pihak pakar dalam laporannya.

“Kita ada beberapa jangkaan berhubung puncanya tetapi mahu ia disahkan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil (untuk mengelakkan kejadian sedemikian berulang),” kata Uggah.

Uggah turut berkata bahawa beberapa perkara yang dipelajari dalam menangani kebakaran hutan di Kuala Baram, Miri, boleh dilaksanakan di Sri Aman, yang terletak 193km dari Kuching.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Khiruddin Drahman mengatakan pada Khamis lalu bahawa pembakaran terbuka menjadi kemungkinan utama punca kebakaran itu berlaku.

Kebakaran hutan dan tanah gambut di Sri Aman menjadi tumpuan utama usaha memadamkan api sepanjang minggu lalu. Dengan asap yang terhasil daripada kebakaran itu ditambah dengan asap daripada kebakaran di Indonesia, Sri Aman menjadi satu-satunya kawasan di negara ini yang mencatat tahap bacaan IPU di atas 300.

Sementara itu, pengarah operasi Tiong Ling Hii berkata pagi ini bahawa hujan lebat selama satu jam malam tadi membantu usaha memadamkan kebakaran di bahagian permukaan.

Beliau menambah, kebakaran tanah gambut di bahagian bawah tanah masih berleluasa di kawasan beberapa bahagian kawasan seluas 16 hektar.

Usaha pemadaman api masih diteruskan hari ini, menggunakan khidmat helikopter MI-171 yang menyertai pasukan itu tengahari tadi.

Tiong berkata pada jam 2 petang, helikopter tersebut telah melancarkan 12 bom air di kawasan berkenaan.

Pesawat Agensi Penguatkuasaan Maritim (MMEA) juga dijangka menyertai pasukan itu lewat petang ini. – 21 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen