Isu pengusiran diplomat dari AS, Cuba akan beri maklum balas


Menteri Luar Cuba Bruno Rodriguez mengutuk pengusiran dua diplomat Cuba ke PBB dan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap pergerakan petugas diplomatik Cuba lain ke PBB. – Gambar AFP, 21 September, 2019.

MENTERI Luar Cuba Bruno Rodriguez mengumumkan semalam bahawa Havana akan memberikan maklum balas berkaitan beberapa tindakan yang diambil oleh Amerika Syarikat baru-baru ini, termasuk isu pengusiran dua diplomatnya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lapor agensi berita China Xinhua.

Pada satu sidang akhbar, Rodriguez mengutuk pengusiran itu dan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap pergerakan petugas diplomatik Cuba lain ke PBB.

“Kesemua tindakan ini adalah tidak adil dan tidak sah, memfitnah diplomat kami serta negara kami,” kata Rodriguez.

Menteri luar itu berkata langkah yang diumumkan Jabatan Negara AS pada Khamis seolah-olah sengaja dilakukan untuk “meningkatkan ketegangan dua hala, menutup kedutaan dan memutuskan hubungan diplomatik.”

Washington pada Khamis telah mengarahkan dua diplomat Cuba ke PBB diusir serta-merta selepas mendakwa mereka terlibat dalam operasi penggerak terhadap AS.

Kerajaan AS turut mengehadkan pergerakan anggota misi lain PBB dari Cuba di Manhattan.

Kesemua langkah itu dilaksana beberapa hari sebelum mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB bermula yang menyaksikan Cuba bakal membentang laporan tahunannya berkaitan sekatan oleh AS, yang baru-baru ini menyebabkan ketegangan antara kedua-dua negara memuncak. – Bernama, 21 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen