M for Malaysia: M untuk Mona Lisa


Haris Hauzah

SEBELUM adanya “M for Malaysia”, kita pernah ada “Malaysian Gods” dan “The Silent Riot” yang menjadikan pergolakan politik negara sebagai garapan subjek utama ceritanya. Cuma pada waktu itu Pakatan Harapan belum ada serta belum berhasil untuk membentuk kerajaan memimpin negara.

Sememangnya tidak mudah untuk  negara ini melupakan peristiwa besar yang berlaku pada 9 Mei 2018 itu, apabila Barisan Nasional (BN) tumbang di tangan rakyat dalam pilihan raya umum.

Kini “M for Malaysia” muncul sebagai suatu kuasa pengimbau lalu mengingatkan kita tentangnya.

Semenjak tewasnya BN di tangan satu pakatan unik yang menggabungkan pengaruh besar Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang di bawah satu bendera.

Ada banyak kejadian aneh yang menjadi rentetan peristiwa demi peristiwa yang mengejutkan kita setelah 60 tahun BN berkuasa.

Umno yang disangka akan berubah bagi menyesuaikan dirinya dengan suatu iklim baru politik negara, sebaliknya memilih Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden baru mereka.

Lebih menarik lagi apabila dia kemudiannya mengangkat Najib Razak menjadi pengerusi lembaga penasihat BN dan membentuk penyatuan strategi bermotifkan politik bersama PAS atas nama Melayu dan Islam.

Perkembangan politik pasca pilihan raya ke-14 menjadi lebih menarik apabila Umno dilihat masih menggunakan strategi politik lama yang sama iaitu mempolemikkan isu ras, bangsa dan agama sebagai senjata politik utama dalam menjamin survival parti mereka.

Hal itulah yang menjadikan “M for Malaysia” menarik dan relevan.

Bahkan keseronokan dan keterujaan menontonnya seakan ditambah sekali ganda apabila adanya bermacam pendedahan yang dibuat di mahkamah.

Perbicaraan skandal yang disebut oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sebagai “life imitates art” iaitu satu hasil kerja yang amat halus dan rapi hipotesis yang menjadi titik tolak intipati cerita.

Amat sukar untuk melihat penonton Malaysia begitu berminat dan bersemangat untuk meraikan sebuah filem dokumentari.

Bahkan peluang untuk melihat sebuah filem dokumentari dihasilkan dengan skala produksi seperti “M for Malaysia” juga amat langka.

Selain Mansor Puteh dan Amir Muhammad, barangkali Nadira Ilana dan Fahmi Reza adalah antara beberapa sosok yang dilihat begitu serius dan bersungguh mengetengahkan karya filem dokumentari dengan subjek berat dan berani serta menimbulkan sedikit provokasi.

Pergelutan politik dalam “M for Malaysia” mungkin tidak sebesar filem “Malaysian Gods” dan “Lelaki Komunis Terakhir” atau sekuat filem “The Silent Riot” dan “10 Tahun Sebelum Merdeka”.

Namun keupayaannya menyorot sisi keperibadian Dr Mahathir yang juga datuk kepada pengarah filem ini ternyata berjaya mendatangkan sedikit impak berbeza dan memberi sedikit kesan yang istimewa.

Dr Mahathir dalam “M for Malaysia” ternyata bukan Mahafiraun atau diktator zalim yang digambarkan tamak kuasa sebagaimana dikenali sesetengah penyokong PKR dan DAP.

Beliau sama sekali berbeza berbanding ciri pandangan umum yang biasa tentang diri Dr Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia yang berpengaruh dan paling lama berkuasa.

“M for Malaysia” arahan bersama Ineza Roussille dan Dian Lee ini mungkin boleh dianggap sebagai suatu dimensi baru dalam penghasilan sebuah karya filem dokumentari negara.

Namun dari aspek sebuah karya, dokumentari ini dilihat tidaklah sehebat mana apabila tidak banyak membangkit banyak persoalan serta tidak mengemukakan banyak percanggahan dalam sumber yang digunakannya.

Ineza dilihat cuba meletakkan Dr Mahathir pada suatu keadaan sebab dan akibat yang kemudian ditolak ke dalam sebuah naratif peristiwa panjang yang dipegang oleh satu legasi politik hebat peninggalannya sendiri.

Konflik dalam dokumentari ini terlalu sederhana dan biasa, malah tidak menggigit sesiapa.

Namun sentuhan rasa Ineza yang sangat bersifat peribadi membuatkan “M for Malaysia” membawa kita ke satu daerah keanehan rasa yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata.

Cara Ineza serta Dian meneroka setiap footage dan juga video yang dikutip, kemudian disunting dan dicantum bersama visual yang mereka rakamkan, telah membesarkan sisi pandang kisah politik dalam “M for Malaysia”.

Eksploitasi ucapan ceramah Najib dan Dr Mahathir dalam siri jelajah kempen pilihan raya berjaya memperlihatkan diri sebenar mereka.

Magis suntingan “M for Malaysia” berjaya memperlihatkan diri Najib sebagaimana apa yang didakwa Dr Mahathir sebagai perosak dan perompak wang negara.

“M for Malaysia” sebenarnya adalah suatu garapan memotretkan Dr Mahathir dalam filem, sebagaimana Leonardo da Vinci memotretkan Mona Lisa pada kanvas beberapa kurun lalu.

Kelemahan filem ini mengimbangi aspek memberikan bayang, gambaran dan keterlibatan langsung rakyat terbanyak dalam tribulasi perjuangan sangat merugikan.

Proses demokrasi dalam pilihan raya seharusnya dilebarkan juga kepada kuasa rakyat yang telah menghukum seseorang yang disifatkan sebagai koruptor, yang tidak sudah-sudah menabur wang ke atas kepala rakyat bagi mendapatkan undi sokongan. Aspek ini sepatutnya lebih diperincikan.

Sama ada sedar atau tidak, kita semuanya adalah para “demonstrator”: Melayu, India, Cina dan semua, sama-sama bersorak dan menjeritkan suara kecil mereka tentang apa yang mereka tidak percaya berkenaan kerajaan kleptokrat yang gila.

“M for Malaysia” adalah kisah Dr Mahathir. Seorang lelaki tua yang waktu itu berusia 92 tahun, memutar masa mengimbas kembali realiti seorang negarawan yang telah 15 tahun hidup sebagai seorang rakyat biasa kembali bertanding dan mencabar dalam pilihan raya untuk merampas kuasa.

“M for Malaysia” cuba untuk mengembalikan nostalgia gila sebuah negara yang dipalitkan skandal rasuah paling bahaya dengan memotretkan Dr Mahathir sebagai penyelamat Malaysia – seperti potret Mona Lisa yang duduk senyum tapi ada seribu satu ketakutan dan duka sengsara.

“M for Malaysia” adalah potret senyum Dr Mahathir di tengah suara gelak ketawa suasana politik ketika menang pilihan raya tanpa disangka. Suatu senyuman yang menyimpan misteri dan rahsia, sebagaimana potret Mona Lisa juga. – 21 September, 2019.

* Dokumentari M for Malaysia ditayang di pawagam berdekatan anda sehingga 25 September ini.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen