JUMLAH kematian akibat kebakaran “api liar” yang tidak diketahui dari mana puncanya di California meningkat 32 orang semalam, sementara anggota bomba mula dapat membendung kawasan panas tetapi berkata angin yang semakin kuat agak membimbangkan.
“Masih lama lagi untuk keluar daripada keadaan bahaya ini,” kata pengarah di Perkhidmatan Kecemasan Pejabat Gabenor California, Mark Ghilarducci.
“Tetapi ada sedikit perkembangan di beberapa kawasan terjejas,” katanya pada sidang akhbar.
“Kami akan bersedia sebelum kawasan itu mula terbakar.”
Ketua jabatan bomba Ken Pimlott berkata lebih 9,000 anggota bomba sedang berusaha memadamkan 17 kebakaran besar yang membabitkan kawasan seluas 221,754 ekar sejak Ahad lalu.
“Kebakaran yang kecil dapat dipadamkan. Sekarang kita meningkatkan pembendungan api di kawasan kebakaran besar.”
Pimlott berkata usaha memadamkan kebakaran itu akan jadi sukar kerana angin kuat, di mana dijangkakan akan bertambah kuat pada sebelah malam dengan kadar 72km sejam.
Katanya, penyiasat mungkin perlu mengambil masa berminggu-minggu untuk mengenal pasti punca kebakaran, paling teruk dalam sejarah California.
Kebakaran di Griffith Park di Los Angeles pada 1933 menyebabkan kematian 29 orang dan 25 maut pada 1991 dalam kebakaran Oakland Hills. – AFP, 14 Oktober, 2017.
Komen