Dadah mungkin dihalalkan bagi tujuan perubatan, kata Presiden Mexico


Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador berkata konsultasi berkaitan isu menghalalkan penggunaan dadah tertentu akan diadakan sebaik sahaja pentadbirannya mencapai kemajuan dalam memperkukuh keselamatan sosial. – Gambar AFP, 21 September, 2019.

PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador semalam mengesahkan kemungkinan penganjuran satu konsultasi awam berkaitan langkah menghalalkan beberapa dadah tertentu bagi tujuan perubatan sebagai kaedah mengurangkan keganasan yang disebabkan pengedaran dadah, lapor agensi berita China Xinhua.

“Saya tidak menolak kemungkinan mengadakan pungutan suara berkaitan langkah menghalalkan penggunaan dadah tertentu, terutama yang digunakan bagi tujuan perubatan,” kata Lopez Obrador dalam satu sidang akhbar di Merida, ibu kota negeri Yucatan.

Presiden itu berkata konsultasi berkaitan isu itu akan diadakan sebaik sahaja pentadbirannya mencapai kemajuan dalam memperkukuh keselamatan sosial.

Bulan lepas, Amerika Syarikat mengeluarkan satu memorandum presiden yang menyaksikan Mexico dikenal pasti sebagai antara 22 transit dan negara pengeluar utama dadah di dunia. – Bernama, 21 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen