Pembangunan Kampong Bharu tak akan sesar orang Melayu, kata PM


Mohd Farhan Darwis

Penduduk Kampung Baru hadir sesi town hall bersama Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, di Dewan Perdana Felda, hari ini. Perdana menteri memberikan jaminan kedudukan orang Melayu di ibu kota akan dipelihara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 September, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kedudukan komuniti Melayu akan kekal dipelihara walaupun kawasan Kampong Bharu akan dibangunkan.

Dr Mahathir berkata tentangan sekumpulan individu yang mendakwa pembangunan kawasan itu akan mengeluarkan orang Melayu daripada ibu negara adalah tidak benar.

“Antara sebab cadangan membangunkan Kampong Bharu ditentang adalah kerana wujud dakwaan bahawa pembangunan ini akan mengeluarkan orang Melayu dari tengah ibu kota Kuala Lumpur. Ini tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

“Pembangunan Kampong Bharu perlu menepati garis panduan seni bina Melayu Islam yang disediakan, termasuk mengambil kira setiap aspek warisan dan sejarahnya.

“Ia akan kekal sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di tengah ibu kota,” kata Dr Mahathir.

Ucapan rakaman perasmian Dr Mahathir disiarkan ketika sesi town hall penduduk petempatan Melayu itu bersama Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, di Dewan Perdana Felda, hari ini.

Dr Mahathir memberi jaminan, komuniti Melayu di Kampong Bharu juga tidak perlu bimbang akan perkara itu kerana dilindungi sepenuhnya Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu.

Katanya, idea pembangunan Kampong Bharu juga sudah dicadangkan kerajaan sejak awal 1980-an.

“Ada yang menyokong dan sebaliknya. Malangnya, selepas berabad berlalu, Kampung Bharu masih lagi seperti dulu.

“Kampung Bharu mempamerkan wajah yang bercanggah. Di satu pihak ia simbol kebanggaan orang Melayu di tengah ibu kota.

“Manakala di sebelah pihak lagi, masa seolah-olah terhenti di Kampong Bharu ketika ibu kota pesat membangun dan menjadi sebuah metropolis,” katanya.

Keadaan kawasan berkenaan yang tidak selesa didiami pada masa kini juga seperti kesesakan mengakibatkan penduduk asal berpindah keluar dari kawasan berkenaan, kata Dr Mahathir.

“Jadi, lebih baik jika kawasan ini dibangunkan dan disusun semula dengan dilengkapi kemudahan awam, termasuk jaringan infrastruktur yang efisien serta kawasan lapang untuk aktiviti riadah dan kemasyarakatan.

“Sudah tentu akan lebih ramai orang Melayu berminat tinggal di sini kerana Kampong Bharu akan menjadi lebih kemas, cantik dan selesai untuk didiami. Ini secara langsung meningkatkan lagi nilai pasaran hartanah,” katanya. – 21 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen