PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump semalam berkata langkah mengenakan kekangan ke atas Iran adalah sesuatu yang baik selepas beberapa sekatan baharu dikenakan terhadap Tehran susulan serangan ke atas loji minyak utama Arab Saudi baru-baru ini, lapor agensi berita China Xinhua.
Trump memberitahu pemberita di White House menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri Australia Scott Morrison bahawa arahan melancarkan serangan udara ke atas Iran adalah “perkara paling mudah yang boleh saya lakukan” sambil menambah “perkara yang menunjukkan kekuatan ialah dengan mengenakan sedikit kekangan”.
“Saya rasa kekangan adalah satu langkah yang baik,” katanya.
Ketegangan memuncak apabila beberapa pegawai kanan AS termasuk Setiausaha Negara Mike Pompeo terus menyalahkan Iran bagi serangan dron pada Sabtu ke atas loji minyak di timur Arab Saudi, yang disangkal sekeras-kerasnya oleh Tehran.
Perbendaharaan AS semalam melancarkan beberapa sekatan baharu ke atas Tehran, yang menyasarkan bank pusat dan dana pembangunan nasional, satu langkah yang disifatkan Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin akan menghentikan sumber dana Tehran yang terakhir. – Bernama, 21 September, 2019.
Komen