SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper mengatakan pada Jumaat pihaknya akan menghantar bantuan ke wilayah Teluk atas permintaan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), berikutan serangan terhadap loji minyak Arab Saudi yang didakwa dilakukan Iran.
Ketua Pentagon berkata serangan Iran terhadap drom AS pada Jun selepas Tehran merampas sebuah kapal tangki minyak Britain, serta serangan terhadap dua loji minyak Arab Saudi pada Sabtu lalu merupakan tindakan dramatik pencerobohan Iran.
“Untuk menghalang tindakan selanjutnya, Arab Saudi meminta sokongan antarabangsa untuk membantu melindungi infrastruktur penting kerajaan. UAE juga meminta bantuan,” katanya.
“Sebagai respons kepada permintaan kerajaan itu, presiden meluluskan penempatan pasukan AS, yang akan bersifat defensif, dan memberi fokus kepada pertahanan udara dan peluru berpandu,” kata Esper.
Kerahan pasukan tentera ke rantau itu akan bersifat “sederhana,” kata Ketua Turus Bersama Joe Dunford, tetapi tidak menyatakan jenis peralatan atau jumlah bantuan, kecuali ia kurang daripada “ribuan tentera”. – AFP, 21 September, 2019.
Komen