SERAMAI 12 orang awam maut dalam insiden letupan bom sebuah bas di utara bandar suci puak Syiah, Karbala, kata sumber perubatan.
“Seramai 12 orang disahkan maut dan lima lagi cedera dalam letupan sebuah bas di pos pemeriksaan utama untuk pintu masuk utara Karbala,” kata pihak berkuasa kesihatan, menambah mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak.
Pasukan keselamatan segera dikerahkan ke lokasi kejadian serangan dan tiada pihak tampil bertanggungjawab setakat ini.
Serangan di Karbala jarang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini namun serpihan militan IS yang berjaya ditumpaskan kerajaan Iraq pada akhir 2017 masih meneruskan aktiviti menyerang di bahagian lain negara itu.
Pada 10 September, lebih 30 jemaah maut manakala berpuluh lagi cedera akibat terpijak di makam utama Karbala ketika ribuan pengikut Syiah berarak ke bandar berkenaan ketika menyambut Hari Asyura.
Iraq menjangkakan lebih sejuta jemaah akan hadir pada akhir Oktober bagi menyambut perayaan tahunan Arbain yang menandakan tamatnya tempoh berkabung selama 40 hari sempena pembunuhan Imam Hussein oleh pasukan Khalifah Yazid. – AFP, 21 September, 2019.
Komen