SEKURANG-KURANGNYA empat terbunuh dan 15 yang lain cedera parah apabila sebuah bas membawa pelancong China terbabit dalam kemalangan berhampiran Taman Negara Bryce Canyon semalam di Utah, Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa.
Peronda Lebuhraya Utah berkata kemalangan berlaku pada waktu pagi kira-kira 11km dari tempat letak kereta di pintu masuk, menyebabkan jalan itu ditutup bagi membolehkan ambulans dan kenderaan penyelamat bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, 30 orang termasuk pemandu dalam bas sedang menuju ke taman terkenal itu.
“Empat terbunuh sementara 12 hingga 15 yang lain cedera parah dan lebih 10 orang mengalami kecederaan ringan,” kata peronda lebuh raya menerusi Twitter.
Ia turut memuat naik gambar bas berkenaan dengan keadaan bumbungnya separuh terkoyak, di tepi lebuh raya utama menuju ke taman berkenaan.
Mangsa yang cedera dibawa ke beberapa hospital menggunakan helikopter.
Kedutaan China di Washington berkata ia mengambil protokol kecemasan dan menghantar pegawai untuk membantu mangsa.
Bryce Canyon antara taman negara yang paling ramai pengunjung di AS, menerima kehadiran kira-kira 1.5 juta pelancong setiap tahun. – AFP, 21 September, 2019.
Komen