Pelajar ponteng sekolah sertai protes bencana alam sekitar


Aktivis Greta Thunberg, 16, menyertai himpunan protes disertai 500,000 orang terhadap perubahan iklim dan bencana alam sekitar di New York, semalam. – Gambar EPA, 21 September, 2019.

BANYAK kanak-kanak ponteng sekolah semalam untuk menyertai mogok di seluruh dunia terhadap perubahan iklim di mana aktivis Greta Thunberg berharap ia akan menjadi titik perubahan dalam mendorong pemimpin bertindak terhadap bencana alam sekitar.

Kira-kira empat juta orang memenuhi jalan raya di beberapa ibu kota di seluruh dunia, kata penganjur, di mana ia dikatakan protes terbesar terhadap ancaman kepada planet akibat peningkatan suhu.

Golongan muda dan dewasa melaungkan slogan dan mengibarkan plakad dalam demonstrasi yang bermula di Asia dan Pasifik, merebak ke Afrika, Eropah dan Amerika Latin, sebelum tiba di Amerika Syarikat (AS) di mana Thunberg berarak.

“Saya harap ini akan menunjukkan berapa ramai orang berhubung, berapa ramai memberi tekanan kepada pemimpin,” kata aktivis berusia 16 tahun itu, di mana beliau mendakwa 250,000 menyertai tunjuk perasaan itu.

Walaupun tidak ada angka rasmi, penganjur 350.org menulis di Twitter, kira-kira empat juta orang menyertai protes itu di seluruh dunia. Kumpulan itu berkata himpunan semalam bermula dengan 5,800 protes di 163 negara.

“Jika kita cuba untuk buat perubahan, kita boleh. Masih belum terlalu lambat,” kata Annabelle Abramowitz, 12, di New York di mana 1.1 juta pelajar dibenarkan ponteng sekolah untuk menyertai protes itu.

Dari Berlin ke Boston, Kampala ke London, Seoul ke Sao Paulo, penunjuk perasaan membawa pelbagai sepanduk termasuk “Tidak ada planet B” dan “Jadikan bumi hebat kembali”. – AFP, 21 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen