Jokowi gesa tangguh undang-undang haramkan seks sebelum nikah 


Presiden Indonesia Joko Widodo berkata rang undang-undang itu memerlukan perbncangan lanjut sebelum ia boleh dilaksanakan.– Gambar EPA, 20 September, 2019.

PRESIDEN Indonesia menggesa penangguhan bagi cadangan mewujudkan rang undang-undang mengharamkan gay dan seks sebelum nikah yang dikecam oleh kumpulan hak asasi manusia dan masyarakat di negara itu.

Cadangan itu perlu dilihat dengan lebih baik memandangkan tindak balas tegas, kata Joko Widodo, ketika meminta Parlimen membatalkan pengundian yang dirancang sebelum sesi berakhir minggu depan.

Undang-undang jenayah yang dicadangkan itu akan memberi kesan kepada jutaan rakyat di negara majoriti Islam terbesar dunia itu.

Ia termasuk hukuman penjara atas kesalahan jenayah bagi pasangan heteroseksual kerana melakukan hubungan seks sebelum bernikah, atau menjalinkan hubungan sulit.

Pada Jumaat, kedutaan Australia di Jakarta mengeluarkan nasihat perjalanan kepada Indonesia, yang memberi amaran undang-undang itu boleh menyebabkan pelancong asing yang belum berkahwin dikenakan tindakan.

“Selepas mendengar bantahan daripada pelbagai pihak berhubung aspek perundangan, saya memutuskan ia memerlukan perbincangan lanjut,” kata Joko Widodo pada sidang media hari ini.

“Menteri berkenaan sudah dimaklumkan untuk membawa pandangan saya ini ke parlimen dan ratifikasi rang undang-undang itu perlu ditangguhkan dan tidak diluluskan.” – AFP, 20 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen