PENGIRAAN rasmi pilihan raya Israel minggu ini sah menemui jalan buntu hari ini, apabila parti Benny Gantz menjadi pemenang terbanyak tetapi tidak mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.
Keputusan daripada jawatankuasa pilihan raya Israel menunjukkan parti Biru dan Putih haluan tengah pimpinan Gantz menang 33 daripada 120 kerusi dan parti haluan kanan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Likud menang 31 kerusi.
Keputusan akhir akan diumumkan pada Rabu, katanya, dan ia mungkin berubah.
Jawatankuasa berkata keputusan itu tidak meliputi 14 lagi pusat mengundi yang pengesahan masih berjalan.
Media Israel berkata, pengumuman itu bermaksud 99.8% undi sudah dikira.
Pemenang ketiga adalah Pakatan Senarai Bersama Arab yang menang 13 kerusi, diikuti oleh parti Yahudi ultra Ortodox dengan sembilan kerusi.
Sebuah lagi parti ultra Ortodos, Judaisme Torah Bersatu menang lapan kerusi, manakala parti nasionalis pimpinan bekas menteri pertahanan Avidgor Lieberman, Yisrel Beitenu juga menang lapan kerusi.
Khamis lalu, Netanyahu mengakui keputusan tidak membolehkannya membentuk kerajaan dengan parti haluan kanan seperti dimahukannya dan mengajak Gantz membentuk kerajaan campuran.
Gantz memberi respond yang beliau akan menjadi perdana menteri dalam kerajaan campuran itu kerana Biru dan Putih pimpinannya adalah parti paling banyak kerusi.
Presiden Israel Reuven Rivlin merancang mengadakan rundingan dengan semua parti berjaya masuk Parlimen pada Ahad untuk menentukan siapakah yang akan membentuk kerajaan. – AFP, 20 September, 2019.
Komen