Polis Hong Kong didakwa guna kekerasan


Amnesty International mendesak siasatan bebas berhubung keganasan polis diadakan.– Gambar EPA, 20 September, 2019.

KUMPULAN hak asasi manusia Amnesty International menuduh polis Hong Kong menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi yang menggunakan “taktik melulu dan taktik yang menyalahi undang-undang”.

Dalam laporan berdasarkan temu bual dengan puluhan aktivis yang kebanyakan mereka dimasukkan ke hospital selepas ditahan, kumpulan itu berkata, pasukan polis di bandaraya itu bertindak melampaui tahap kekuatan yang dibenarkan oleh undang-undang tempatan dan piawaian antarabangsa.

“Dalam tindakan yang jelas untuk membalas denda, pasukan keselamatan Hong Kong menggunakan taktik melulu dan menyalahi undang-undang terhadap orang ramai ketika protes itu berlangsung,” kata pengarah Amnesty International Asia Timur, Nicholas Bequelin.

“Ini termasuk tangkapan yang dibuat sewenang-wenangnya dan keganasan balas terhadap orang yang ditangkap dalam tahanan, yang sebahagiannya telah diseksa.”

Kumpulan itu turut mendesak siasatan bebas berhubung keganasan polis diadakan, yang mana ia juga merupakan tuntutan penunjuk perasaan yang ditolak oleh pegawai kerajaan dan pihak atasan polis.

Pasukan polis Hong Kong bagaimanapun menolak dakwaan Amnesty bahawa pihaknya menggunakan keganasan.

Dalam satu kenyataan yang keluarkan pada Jumaat, polis berkata pegawainya “mengamalkan tahap kekangan pada setiap masa dalam menggunakan kekerasan”.

Dalam maklum balas terhadap dakwaan dalam laporan itu, polis berkata mereka “tidak akan mengulas bagi kes individu” dan mengatakan mereka yang mendakwa berlaku salah laku harus membuat aduan dengan pemerhati polis.

Demonstrasi di Hong Kong itu berlarutan sejak tiga bulan lalu melibatkan ratusan ribu penunjuk perasaan.

Penunjuk perasaan anti kerajaan bertindak membaling batu, botol dan bom petrol dan menggunakan lastik ketika bertempur dengan polis yang bertindak balas dengan gas pemedih mata dan peluru getah dan meriam air. 

Video polis mengejar dan memukul penunjuk perasaan turut perasaan viral di media sosial. – AFP, 20 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen