54 maut akibat banjir dan tanah runtuh di Vietnam


Penduduk kampung di Hoang Van Thu, Hanoi, Vietnam, mengharungi banjir untuk ke tempat lebih selamat. Bencana alam ini telah mengorbankan 54 nyawa sementara 39 lain masih hilang. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2017.

JUMLAH kematian akibat banjir dan tanah runtuh di utara dan tengah Vietnam melonjak kepada 54 orang, kata para pegawai hari ini, yang merupakan salah satu bencana cuaca paling dahsyat yang melanda negara itu sejak sekian lama.

Pasukan penyelamat masih mencari 39 orang yang hilang selepas hujan lebat turun di beberapa wilayah minggu ini, dengan amaran satu lagi ribut besar bakal sedang menuju menuju ke negara itu.

Kampung-kampung, jalan raya dan rumah di beberapa wilayah masih ditenggelami air, ketika pihak berkuasa cuba membersihkan jalan dan memberi bantuan kepada penduduk di kawasan terpencil di utara pergunungan, yang mengalami tanah runtuh.

Seluruh keluarga terbunuh di beberapa kawasan apabila sungai memusnahkan jalan ke kampung-kampung dan bandar-bandar.

Hoang Phuc Son berkata dia kehilangan dua anak dan cucu ketika banjir melanda rumah mereka di wilayah Yen Bai.

“Kami tidak mempunyai masa untuk menyelamatkan diri. Anak-anak saya tidak dapat melarikan diri kerana air datang dari semua arah… anak-anak saya dan anak mereka dihanyutkan air,” kata Son, menahan tangis.

Sementara itu, mayat wartawan Vietnam News telah ditemui hari ini setelah dihanyutkan air sungai di wilayah Yen Bai ketika melaporkan kejadian banjir minggu ini. – AFP, 13 Oktober, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen