Mahkamah benar SSM saman saksi perbicaraan SRC International 


Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin merupakan saksi ke 42 perbicaraan SRC International Najib Razak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September Ogos, 2019.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memfailkan saman terhadap saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International Najib Razak, kerana gagal mengisytiharkan penyata kewangan bagi 2017.

Hakim Manira Mohd Nor hari ini menetapkan 4 Oktober untuk SSM memfailkan saman terhadap bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin, CEO SRC International yang kini dalam pelarian Nik Faisal Ariff Kamil, dan anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Kesalahannya adalah gagal menghantar penyata kewangan bagi 2017, pegawai pendakwa raya SSM Siti Nur Nazhilah Mohammad Hasim memaklumkan kepada mahkamah hari ini.

Mahkamah diberitahu, cubaan untuk memfailkan saman sebelum ini gagal dan permohonan hari ini adalah untuk tarikh baru untuk menyampaikannya lagi.

Saman itu melibatkan kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965, dan bukan jenayah yang mungkin hanya dikenakan hukuman denda.

Suboh yang merupakan saksi pendakwaan ke 42 dalam perbicaraan SRC International bagaimanapun tidak hadir hari ini.

Nik Faisal yang merupakan tokoh utama dalam perbicaraan SRC, dipercayai berada di Indonesia, menurut laporan berita.

Dalam perbicaraan itu, Najib berdepan pertuduhan berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada tahun 2011 dan 2012, yang mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada tahun 2014 dan 2015.

Beliau berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Perbicaraan bermula 3 April dan pihak pendakwaan selesaikan kesnya pada 27 Ogos, selepas memanggil 57 saksi. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan pada 11 November sama ada Najib akan dibebaskan atau diminta membela diri.

Sekiranya Najib diminta membela diri, perbicaraan SRC International akan diteruskan pada 3 Disember, yang mana pihak pembelaan akan memanggil saksinya. – 20 September Ogos, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen