TINDAKAN tegas menunggu pihak yang cuba menghidupkan fahaman pasukan pengganas seperti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Katanya, tiada lagi amaran akan dikeluarkan terhadap mana-mana pihak yang cuba melakukan tindakan yang menghasut berkaitan keganasan, keagamaan, dan isu membabitkan institusi beraja.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video lama menunjukkan satu perarakan penyokong LTTE yang tular semula di media sosial.
“Ini video lama, saya akan ambil tindakan sewajarnya. Banyak lagi kes, bukan sekadar video ini.
“(Selepas ini) tiada lagi amaran, saya akan ambil tindakan terhadap apa-apa isu berkaitan hasutan perkauman, keagamaan dan cemar institusi raja,” katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut, Hamid berkata isu perarakan yang mengagung-agungkan pertubuhan pengganas itu sudah lama disiasat.
“Perkara ini dah lama sebenarnya dan, telah diangkat kepada pihak atasan dan kementerian.
“Keputusan akan dibuat sedikit masa lagi sebab perbuatan itu, sekiranya benar agung-agungkan pertubuhan pengganas di luar negara, tidak kena dengan negara kita,” katanya. – 20 September, 2019.
MENYUSUL
Komen