Mana Rumah Selangorku, soal penduduk Sg Kedondong


SM Amin

Selain menuntut Rumah Selangorku, penduduk Sungai Kedondong juga akan membuat tuntutan perundangan. – Gambar Twitter, 20 September, 2019.

Penduduk Sungai Kedondong mendakwa pemimpin kerajaan menipu dalam menjelaskan operasi perobohan yang meranapkan 35 rumah di kampung tersebut.

Penduduk itu juga berang kerana wakil rakyat kawasan itu, Mohd Khairuddin Othman menganggap mereka degil kerana enggan berpindah walau diberikan notis sejak 2016.

Walhal wakil rakyat Paya Jaras itu sendiri membuat bantahan ke atas arahan berpindah, dakwa pemimpin penduduk itu, Azroy Manaf.

“Betul notis telah diberikan pada 2016 dan penduduk tidak mahu berpindah kerana Khairudin sendiri menulis surat bantahan sebarang tindakan perobohan rumah kepada menteri besar ketika itu Azmin Ali.

“Bantahan ini yang telah menghentikan notis tersebut. Sekarang Khairudin pula kata kami yang degil. Sebelum pilihan raya kata lain, selepas pilihan raya lain pula,” katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Khairuddin semalam yang dilaporkan berkata, terdapat penduduk yang masih degil kerana menuntut bayaran pampasan untuk deposit sewa rumah dan sewa bulanan.

Dalam laporan itu, Khairuddin juga menjelaskan beliau membantah pemindahan tersebut kerana penduduk berkenaan belum ditawarkan Rumah Selangorku pada waktu itu.

Namun penduduk yang kini hilang tempat berlindung itu masih belum mendapat Rumah Selangorku seperti yang didakwa, kata seorang pemimpin NGO.

Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil berkata selain tuntutan Rumah Selangorku, mereka juga akan membuat tuntutan perundangan.

“Mereka janji dahulu Rumah Selangorku dekat Aman Puteri. Mana rumah itu? Kalau mereka tunaikan janji, rakyat tidak akan hidup merempat.

“Saya akan bantu tuntut Rumah Selangorku sampai dapat. Kita akan tekan mereka sehingga dapat,” katanya yang merupakan seorang aktivis Umno.

Selain itu, mereka akan meneliti status tanah setiap rumah yang terlibat dalam perobohan yang didakwa dikeluarkan geran hakmilik untuk tuntutan perundangan.

“Kita akan tengok kes tanah yang bergeran dahulu, kemudian baru kita pergi ke tanah (penempatan sementara) dan yang terakhir baru kita tengok kes tanah yang tiada apa-apa dokumen,” katanya.

Penduduk berkenaan turut membangkitkan dakwaan bahawa mereka ditawarkan untuk membiayai kos pemindahan sebanyak RM7,000 setiap orang.

Azroy Manaf yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras Hilir itu berkata tawaran itu tidak wujud sama sekali.

“Tidak ada! Penipu,” katanya dalam sesi perjumpaan bersama penduduk tersebut pada malam tadi.

Beliau juga mendakwa Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa pada 16 September lalu memaklumkan perobohan rumah hanya melibatkan tiga rumah.

“Pada 16 September, Sivarasa memaklumkan akan ada perobohan rumah tetapi hanya melibatkan Blok D di mana hanya tiga buah rumah yang akan dirobohkan.

Perkara itu sudah disampaikan kepada pemiliknya dan mereka sudah maklum. Tiada perobohan yang lain sehingga November 2019.

“Sekiranya penduduk masih belum bersedia untuk berpindah, Sivarasa memaklumkan akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2019. Tetapi pada 18 September, mereka merobohkan semua rumah,” katanya.

Dalam operasi itu, rumah berkenaan dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong bernilai RM5.93 juta.

Bekas Adun Paya Jaras, Muhammad Bushro Mat Johor yang turut hadir dalam perjumpaan tersebut kecewa dengan cara kerajaan menangani isu penempatan semula.

Jelasnya, beliau pernah berhadapan dengan situasi yang sama ketika menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut apabila terdapat lebih 3,000 rumah setinggan di Paya Jaras.

“Mereka yang terkesan mendapat rumah, tidak seperti yang berlaku pada hari ini. Kita ada cara untuk buatkan rumah.

“Kampung Sentosa yang terletak di belakang Hospital Sungai Buluh itu adalah buktinya. Kita tidak pindahkan mereka keluar tetapi di dalam kawasan ini juga.

“Sepatutnya buat bancian betul-betul dan beri pampasan yang sewajarnya. Bila tidak ada, ini amat mendukacitakan, berbeza dengan cara yang kita buat dahulu,” katanya.

Beliau menambah kerajaan sepatutnya menangguhkan operasi perobohan itu dengan mengambil kira masalah cuaca berjerebu dan juga persekolahan anak-anak penduduk.

“Apalah salahnya ditangguhkan sementara. Sediakan rumah transit dahulu,” ujarnya.

Adun Sungai Panjang, Imran Tamrin yang turut hadir berkata beliau akan membawa isu tersebut di dalam Sidang Dun Selangor bagi menuntut jawapan dan mendesak kerajaan menjaga kebajikan penduduk terlibat.

“Dalam sesi Dun akan datang, kita akan desak Khairudin menjawab dan menjelaskan isu ini. Sepatutnya beliau bertanggungjawab terhadap janji-janji beliau,” katanya. – 20 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen