INDIA mungkin menggunakan Akta Pelarian Pesalah Ekonomi (FEOA) terhadap Zakir Naik, yang dikehendaki atas tuduhan jenayah pengubahan wang haram, lapor Malaysiakini.
Portal itu berkata satu artikel oleh akhbar berita India IANS memetik sumber penguatkuasaan India berkata agensi itu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang dalam siasatannya terhadap pendakwah kelahiran Mumbai yang memegang status penduduk tetap di Malaysia.
FEOA memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk bertindak terhadap mereka yang melarikan diri dari India untuk mengelak dari didakwa dan menolak untuk kembali.
Di bawah akta ini, ED boleh merampas aset milik “pelarian pesalah ekonomi”.
Menurut IANS jika Zakir diisytiharkan sebagai pesalah, ia akan membantu usaha pihak berkuasa untuk membebaskannya.
Zakir mencetuskan kontroversi di Malaysia apabila memberikan komen mengenai kuam India dan Cina dalam satu program ceramah di Kelantan bulan lepas.
Beliau telah mempersoalkan kesetiaan komuniti India terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan menyuruh orang Cina untuk “kembali ke negara asal mereka”.
Sejak itu penceramah itu dilarang memberi ucapan awam di seluruh negara.
Pada Mei beliau didakwa di mahkamah di Mumbai atas pertuduhan pengubahan wang haram.
Beliau yang kini berstatus permautautin tetap Malaysia enggan kembali ke India atas alasan tidak akan mendapat perbicaraan adil.
Sementara itu Dr Mahathir berkata rakan sejawatnya di India Narendra Modi “tidak meminta Zakir dihantar semula”.
Sebagai tindak balas, New Delhi berkata Modi sebenarnya membawa isu esktradisi pendakwah semasa pertemuan dengan negarawan Malaysia di Rusia awal bulan ini. – 20 September, 2019.
Komen