BEKAS Presiden Tunisia Zine El Abidine Ben Ali, pemimpin pertama yang digulingkan oleh pemberontakan Arab Spring meninggal dunia di Arab Saudi pada usia 83 tahun, lapor kementerian luar Tunisia kepada AFP.
“Kami telah mengesahkan kematiannya 30 minit yang lalu,” kata kementerian itu pada petang Khamis tanpa memberikan butiran lanjut.
Peguam keluarga Mounir Ben Salha mengesahkan berita itu.
“Ben Ali meninggal dunia di Jeddah sebelum jenazahnya dipindahkan ke Mekah,” katanya.
Pemimpin yang memimpin Tunisia selama 23 tahun itu dirawat di unit rawatan rapi di sebuah hospital sejak tiga bulan lalu akibat kanser prostat.
Ben Ali yang memerintah negara di Afrika Utara itu sejak 1987 hingga 2011 dilihat sebahagian pihak sebagai benteng menentang ekstremisme, tetapi berhadapan kritikan kerana menyekat pembangkang dan keengganannya mengamalkan demokrasi.
Kekecewaan rakyat berhubung pengangguran dan harga barang yang tinggi telah mencetuskan kebangkitan rakyat.
Ben Ali kemudiannya melarikan diri dari Tunisia pada Januari 2011 dalam pemberontakan rakyat yang mencetuskan “Arab Spring”.
Pada 2012 Ben Ali dijatuhi hukuman tanpa hadir penjara seumur hidup kerana kematian penunjuk perasaan ketika kebangkitan menentangnya.
Ben Ali meninggalkan enam anak, tiga anak perempuan hasil perkahwinan pertama dan dua anak perempuan serta seorang lelaki hasil perkahwinan dengan Leila Trabelsi. – AFP, 20 September, 2019.
Komen