‘Pembunuh bersiri’ Nigeria ditahan selepas bunuh 8 wanita


Suspek digelar "pembunuh bersiri" ditahan semalam selepas terlibat dalam pembunuhan lapan wanita di beberapa hotel. – Gambar The Malaysian Insight, 20 September, 2019.

POLIS Nigeria yang menyiasat pembunuhan sekurang-kurangnya lapan wanita selepas diumpan ke hotel di sekitar bandar Port Harcourt berjaya menahan seorang lelaki yang digelar pembunuh bersiri, semalam.

Lima kematian dicatatkan bulan lalu dan mencetuskan kemarahan orang ramai di Nigeria dengan protes yang diadakan di seluruh bandar oleh aktivis wanita yang bimbang akan peningkatan kes bunuh menyasarkan pekerja seks.

Polis telah menangkap seorang suspek tetapi seorang lagi suspek lain ditahan pada pagi Khamis, tulis polis dalam satu kenyataan di Twitter.

“Pembunuh bersiri” terkenal Gracious David West telah ditangkap hari ini oleh polis di Rivers.

“Suspek telah membuat kenyataan berguna kepada polis,” kata polis yang turut mengumumkan satu sidang akhbar akan diadakan di Port Harcourt hari ini.

Dalam satu kenyataan pada Selasa polis berkata pembunuhan dianggap mempunyai elemen ritualistik.

Pesuruhjaya Polis Rivers Mustapha Dandaura berkata selepas membunuh, kain putih dililit pada leher atau pinggang mangsa, jadi terdapat unsur keagamaan dalam siri pembunuhan yang dilakukan di hotel-hotel terlibat.

“Pembunuh bersiri itu biasanya memberikan dadah kepada mangsa dan selepas itu mencekik mereka,” katanya.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, golongan wanita berhimpun di jalan-jalan sekitar Port Hartcourt mengadakan protes meminta perlindungan polis yang lebih baik.

Kebimbangan terhadap kes pembunuhan dan tindakan polis mulai mendapat perhatian ramai apabila mereka memberitahu penunjuk perasaan bahawa golongan wanita harus meninggalkan kegiatan pelacuran untuk mengelak menjadi sasaran pembunuh bersiri berkenaan.

“Kita mesti kembali mendidik mereka (wanita) dan tidak menggalakkan mereka terlibat dalam pelacuran kerana mereka merupakan sasaran penjenayah berkenaan,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Chuks Enwonwu kepada penunjuk perasaan, menurut laporan media tempatan.

Penunjuk perasaan dan aktivis mengutuk tindakan polis dan mengatakan semua wanita terdedah dengan serangan jenayah yang semakin meningkat.

Kegiatan pelacuran adalah dilarang di Nigeria dan polis telah menguatkuasakan sekatan terhadap hotel di bandar memaksa pemilik hotel memasang kamera litar tertutup bagi memantau aktiviti berkenaan dan menghalang kegiatan pelacuran dari terus berlaku. – AFP, 20 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen