LEBIH 20 pelajar Muslim yang dilarang ke sekolah Katolik di Dakar kerana memakai tudung kini dibenarkan kembali semalam selepas guru dan kerajaan mencapai persetujuan dan rundingan susulan campur tangan Vatican.
Sejak 3 Disember, seramai 22 pelajar yang memakai tudung dilarang menghadiri sekolah Sainte Jeanne-d’Arc Institution selepas ia menguatkuasakan undang-undang mengatakan pelajar lelaki dan perempuan tidak boleh menutup kepala.
Tindakan itu menyebabkan demonstrasi dan perdebatan hangat di Senegal, dengan sekurang-kurangnya empat individu ditahan kerana mengadakan tunjuk perasaan di luar sekolah itu.
Kontroversi itu berakhir selepas rundingan dianjurkan oleh Vatican.
Wakil Vatican menghubungi sekolah dan meminta mencari jalan penyelesaian, memetik komitmen Pope Francis untuk mengadakan dialog antara agama dan perpaduan sosial.
Pelajar terbabit kembali ke sekolah selepas kementerian pendidikan dan guru menemui jalan persetujuan berkata pelajar boleh memakai pakaian seragam dengan tudung yang bersesuaian.
Tudung itu perlu disediakan oleh sekolah dan tidak mengganggu pakaian, menurut persetujuan itu dan ia hanya terpakai bagi persekolah tahun ini.
Sekolah Katolik itu mempunyai 1,700 pelajar dan diasaskan pada 1939 oleh biarawati daripada jemaah berpangkalan di Perancis, Saint-Joseph de Cluny.
Senegal negara Islam yang terkenal dengan toleransi beragama.
Sebanyak 90% populasinya beragama Islam tetapi pemakaian tudung tidak begitu meluas seperti di negara Islam lain. – AFP, 20 September, 2019.
Komen