POLIS mengalu-alukan rancangan memasang kamera litar tertutup di lokap dan juga kamera di badan anggota untuk menghindarkan fitnah ke atas anggota pasukan itu.
Ia juga akan mengelakkan anggotanya daripada menyeleweng, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
“Saya amat alu-alukan, itu berita amat baik kepada PDRM. Kita banyak buat permohonan untuk menaik taraf kelengkapan anggota polis agar dapat menjalankan tugasan lebih cekap, sempurna dan terlindung daripada fitnah.
“Pengumuman Perdana Menteri itu amat baik kerana dengan pelaksanaan kamera badan dapat mencegah fitnah, saya yakin anak buah saya menjalankan kerja dengan baik.
“Dengan ada kamera badan juga akan halang mereka daripada membuat kerja menyeleweng daripada tugasan,” katanya kepada pemberita.
Jelasnya, fitnah itu termasuk kes kematian dalam tahanan yang sering dikaitkan dengan tuduhan keganasan polis, walhal banyak kes itu melibatkan penyakit.
“Anak buah saya amat terdedah kepada fitnah, saya tegas menyatakan bahawa kes kematian dalam lokap banyak berpunca daripada penyakit.
“Tohmahan yang keluar anak buah saya yang pukul, dengan CCTV saya amat lega kerana dapat mengelakkan anggota polis menjadi pesalah,” kata Abdul Hamid.
Selain itu, polis juga akan memohon perolehan beberapa kelengkapan lain kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membolehkan anak buahnya melaksanakan tugas dengan lebih baik.
“Kita akan kemukakan kepada KDN beberapa lagi peralatan yang amat diperlukan dalam kepolisan moden,” katanya kepada pemberita selepas melawat kuarters dan balai polis di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras.
Dalam sidang media sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata Putrajaya memperuntukkan RM126 juta bagi kos memasang CCTV di 756 lokap polis di seluruh negara.
Kerajaan juga katanya bersetuju membelanjakan RM100 juta bagi menyelenggara dan membaik pulih 210 lif di kuarters polis seluruh negara bagi tahun ini.
“Sejak Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada Mei tahun lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir menegaskan kedaulatan undang-undang perlu dikekalkan.
“Termasuk juga anggota polis, dan pegawai PDRM, perlu dipastikan mereka diberikan tempat tinggal yang selesa, keselamatan terjamin agar mereka dapat menjalankan tugasan dengan lebih tenang,” kata Liew, kepada pemberita.
Terdahulu, beliau bersama Abdul Hamid menghadiri taklimat dan rundingan berhubung penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC).
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata, Putrajaya bersetuju agar pegawai penguatkuasa seperti anggota polis, imigresen dan kastam mengguna kamera badan bagi menangani kes salah laku, termasuk rasuah.
Penggunaan kamera badan itu katanya dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas seperti memukul orang yang disiasat.
“Pegawai akan pasang kamera di badan dia dan apabila dia bercakap atau orang bercakap boleh rekod. Kita boleh lihat apa yang dilakukan oleh pegawai ke atas pelanggan,” katanya. – 20 September Ogos, 2019.
Komen