SEBUAH kapal kargo dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, karam kira-kira 600 kilometer di selatan pulau Ishigaki, wilayah Okinawa, barat daya Jepun, awal pagi Jumaat, menurut Konsulat Jeneral China di Fukuoka, lapor agensi berita Xinhua.
Seramai 16 daripada 26 anak kapal berjaya diselamatkan sementara 10 yang lain masih hilang.
Panggilan kecemasan daripada kapal kargo Emerald Star itu diterima ibu pejabat pengawal pantai yang berpangkalan di Naha, Okinawa kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan pada Jumaat.
Berikutan itu, bot dan pesawat dihantar ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat namun operasi tergendala akibat taufan.
Sebelum ini, laporan mengatakan 15 daripada 26 anak kapal warga India berjaya diselamatkan kapal lain yang kebetulan berhampiran lokasi kejadian manakala 11 lagi masih hilang. – Bernama, 13 Oktober, 2017.
Komen