DUA lelaki ditahan dipercayai mabuk ketika merempuh sekatan polis di Batu 2, Sungai Pelek di Sepang dalam kejadian kira-kira 3 pagi hari ini.
Timbalan Ketua Polis Sepang Supt Mohd Noor Aehwan berkata kereta Nissan Sunny yang dipandu seorang suspek berumur 31 tahun dan dinaiki rakannya berumur 24 tahun juga hampir melanggar anggota polis yang berada di tepi jalan.
“Cermin sisi kereta itu juga terkena bahagian hujung senjata jenis MP5 yang dipegang oleh anggota polis berkenaan,” katanya di Sepang hari ini.
Mohd Noor berkata dua anggota polis bertindak mengejar kereta yang dipandu suspek dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum berjaya menahannya kira-kira 500 meter daripada lokasi sekatan jalan raya.
Selain didapati mabuk, ujian air kencing terhadap kedua-dua lelaki itu juga menunjukkan mereka positif dadah jenis syabu, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 353 dan 279 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya serta memandu secara melulu.
Kedua-dua lelaki itu ditahan reman empat hari bermula hari ini. – Bernama, 19 September, 2019.
Komen