JEREBU yang melanda negara menyebabkan pengendali premis makanan mengalami kerugian separuh hasil pendapatan daripada biasa berikutan pelanggan memilih untuk mengelakkan daripada keluar rumah.
Penurunan jumlah pelanggan sejak kualiti udara mula merosot minggu ini, segelintir peniaga restoran Cina memendekkan waktu operasi dan terpaksa membuka perniagaan hanya pada waktu makan tengahari dan makan malam.
Restoran India-Muslim yang sering menjadi tumpuan pelanggan juga dilihat hampr kosong ketika waktu minum teh dan selepas makan malam kerana pelanggan memilih untuk tinggal di rumah.
Gerai tepi jalan lebih teruk, kata Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (Ikhlas), kerana ia terdedah sepenuhnya kepada udara tercemar yang menyebabkan pemilik perniagaan dan pekerjanya turut mengalami masalah kesihatan.
“Ada segelintir ahli mengadu perniagaan mereka merosot sehingga 50% kerana pelanggan tidak datang dan jika ada pun mereka akan bungkus makanan,” kata Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah.
“Perniagaan yang tidak terjejas adalah rangkaian makanan segera kerana mereka ada khidmat penghantaran.”
Apabila pelanggan memilih untuk membawa pulang makanan, mereka biasanya kurang berbelanja berbanding makan di kedai kerana mereka kurang beli minuman dan makanan tambahan, kata Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).
“Orang sudah tak lepak kedai mamak lagi kerana jerebu dan ini menjejaskan perniagaan kerana mereka hanya makan dan pergi,” kata Presiden Presma Ayoob Khan Muhamad Yakub.
Asap tebal dari kebakaran hutan di Indonesia menyelubungi Malaysia sejak minggu lalu dan menyebabkan kualiti udara terjejas kepada paras tidak sihat dan bahaya.
Sarawak paling teruk terjejas berikutan kebakaran tanah gambut di Kalimantan Selatan di Indonesia.
Sri Aman mengalami kualiti udara di paras bahaya selama dua hari manakala penduduk di Kusching terpaksa berdepan udara sangat tidak sihat.
Walaupun bandar mereka diselubungi udara tercemar, peniaga dan pengendali gerai manakan di Sri Aman dan Kuching tiada pilihan untuk terus membuka perniagaan mereka.
“Peniaga meneruskan perniagaan di gerai kerana itu sumber pendapatan mereka, dan mereka bekerja di luar dalam tempoh yang lama dan menghidu udara tercemar,” kata Pengerusi persatuan penjaja Persekutuan Sarawak Voon Chin Leong.
Tambahnya, majoriti peniaga gerai Sarawak membuka perniagaan pada awal pagi hingga 3 petang tetapi tahap pencemaran udara mencecah tahap bahaya, mereka tutup awal perniagaan pada tengah hari atau 1 petang.
“Situasi pencemaran udara pada pagi tidak serius. Pada tengah hari, indeks pencemaran udara semakin teruk. Apabila ia mencecah 200 atau 300, ia agak bahaya dan menjejaskan kesihatan.”
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
“Pendapatan pasti terjejas, dianggarkan menurun sehingga 20%. Orang yang dan makan di gerai akan makan dengan cepat dan kembali ke dalam bangunan,” kata Voon.
Kopitiam Cina di semenanjung turut terjejas kerana mereka juga terpaksa memendekkan tempoh operasi, pendapatan dijangka turun sehingga 50%, kata Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Ho Su Mong.
“Minggu lalu, kopitiam Johor terjejas. Selepas situasi semakin baik, minggu ini giliran Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang terjejas, dan yang paling teruk adalah Sarawak,” kata Ho.
Walaupun waktu beroperasi dikurangkan dan kurang makanan terjual, pengendali makanan masih mengekalkan tempahan yang sama bagi baranga segar dari pembekal,” kata Presiden Restoran Shin Choong Hung, Lam Tuck Loy.
“Tempahan dari restoran kepada pembekal tidak boleh dikurangkan. Sesetengah sayuran tidak tahan lama,” kata Lam.
“Sebagai contoh, taugeh perlud irendam dalam air. Jika perniagaan tidak baik, bahan segar akan terbazir.”
Kesemua pihak meminta kerajaan berusaha untuk menghalang masalah jerebu daripada berlarutan kerana ia boleh menjejaskan ekonomi.
“Kami tahu puncanya dari Indonesia. Tetapi ia bukan alasan untuk buat lebih lagi, kerana jerebu menjejaskan perniagaan,” kata Ridzuan. – 20 September Ogos, 2019.
Komen