Putrajaya perlu berhenti masuk campur urusan Sarawak, kata menteri negeri


Desmond Davidson

Putrajaya perlu belajar hormat konsep persekutuan, kata Menteri Muda Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. – Gambar The Malaysian Insight, 19 September, 2019.

PUTRAJAYA perlu mula belajar menghormati konsep persekutuan dan berhenti masuk campur urusan negeri, kata seorang menteri muda Sarawak.

Mempersoalkan keputusan kerajaan persekutuan membenarkan Kementerian Luar Bandar melantik sendiri pemimpin komuniti di Sarawak, Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sebab Putrajaya berbuat demikian sedangkan jelas bukan bidang kuasanya.

Katanya, hak dan kuasa pelantikan terletak pada negeri berdasarkan Ordinan Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat 2004.

“Mengapa mereka mahu masuk campur,” katanya hari ini di Petra Jaya, Kuching. 

Hasidah mengulas pengumuman Timbalan Menteri Luar Bandar Sivarasa Rasiah untuk Putrajaya melantik ketua masyarakat di Sarawak, menyifatkannya sebagai tidak sesuai dan tidak relevan kerana pelantikan ketua kampung dan ketua masyarakat adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

Sivarasa sebelum ini berkata, Putrajaya akan mula melantik ketua masyarakat yang dijangkakan bermula pada 1 Januari depan, walaupun tindakan itu mungkin mewujudkan dua ketua masyarakat.

Pengumuman itu mendapat kecaman pelbagai pihak di Sarawak, termasuklah dua Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah dan James Masing yang menyifatkan ia boleh menganggu perpaduan rakyat negeri itu dan ia satu bentuk “dasar pecah perintah”.

Hasidah malam ini berkata, ordinan yang diluluskan pada 2004 itu jelas memberikan hak dan kuasa pelantikan ketua masyarakat kepada Sarawak.

“Hanya di Sarawak, kita ada hak untuk menguatkuasa undang-undang sendiri untuk melantik orang kita bagi menjaga orang kita.

“Hanya kita tahu demografi negeri kita. Kerajaan persekutuan sepatutnya tak masuk campur pelantikan ketua masyarakat ini. Mengapa mereka mahu (masuk campur), saya tak pasti.

“Saya bukan hendak bukan spekulasi tetapi kebenarannya adalah kuasa (melantik ketua masyarakat) terletak pada negeri,” katanya.

Hasidah menambah yang Putrajaya mula belajar menghormati terma dan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, cadangan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Sarawak berhak menguruskan agenda pembangunannya sendiri. Ini termasuklah pelantikan pemimpin komuniti, hak melaksanakan undang-undang kita sendiri dan menguruskan hal ehwal negeri kita.” – 19 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen