SEKURANG-kurangnya sembilan orang awam terbunuh dalam serangan dron di timur wilayah Nangarhar, Afghanistan, menurut pihak berkuasa tempatan.
Gabenor daerah berkenaan Shamsul Haq memberitahu AFP, enam lagi orang awam turut mengalami kecederaan dalam serangan di daerah Khogyani.
“Serangan itu sepatutnya mensasarkan ahli kumpulan Daesh, namun ia secara tidak sengaja terkena orang awam,” kata jurucakap polis Nangarhar, Mubarez Atal.
Amerika Syarikat merupakan satu-satunya gabungan antarabangsa di Afghanistan yang memberikan sokongan udara dalam konflik di negara itu, naun setakat ini tiada kenyataan daripada tentera AS di Afghanistan, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mahupun Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Jurucakap timbalan menteri pertahanan, Fawad Aman memberitahu AFP, kementerian itu sedang menyiasat laporan berhubung serangan berkenaan.
Menurut Atal, 15 orang terbunuh, manakala pihak ketiga dalam kerajaan meletakkan angka kematian kepada 30 orang.
“Mereka hanya buruh biasa,” kata penduduk tempatan, Jandar Khan.
Kedua-dua kumpulan militan Daesh dan Taliban aktif di Nangarhar, yang bersempadan dengan Pakistan.
Kematian itu berlaku selepas sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam serangan bom kereta di selatan wilayah Zabul pada Selasa.
Keganasan berlarutan tiga hari berturut-turut di Afganistan menjelang pilihan raya presiden pada 28 September.
Pada Selasa, kumpulan militan Taliban melancarkan seragan di Kabul dan di tengah wilayah Parwan yang menyebabkan hampir 50 orang terbunuh.
Manakala pada Rabu, seorang lelaki bersenjata yang tidak dikenali bersama seorang pengebom bunuh diri bertindak menyerbu bangunan kerajaan di Jalalabad menyebabkan empat orang maut.
Pada Khamis, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala 90 lagi cedera dalam serangan bom kereta oleh Taliban di selatan wilayah Zabul. – AFP, 19 September, 2019.
Komen