Adat masyarakat Orang Asli terus dipertahan, kata Jakoa 


Masyarakat Orang Asli masih berpegang kepada adat tradisi termasuk dalam pelantikan Tok Batin.– Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 September, 2019.

JABATAN Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan terus mempertahankan adat resam masyarakat Orang Asli termasuk dalam pelantikan Tok Batin.

Timbalan Ketua Pengarahnya Saiful Zahlan Muhamad Azmi berkata pemilihan Tok Batin sudah dilaksanakan sejak dahulu melalui keturunan atau mengikut adat, walaupun sudah ada yang berani mempertikaikan pemilihan tersebut.

“Ada segelintir pihak mahu supaya pemilihan dibuat secara demokrasi dan ada juga yang mempertikaikan peranan dan kredibiliti Tok Batin, Bagaimanapun, kita tidak mahu perkara yang digarapkan dalam adat dipertikai tanpa asas.

Perubahan ini boleh dilakukan tetapi seboleh-bolehnya Jakoa akan mempertahankan adat dan resam Orang Asli… apa-apa pun akan kembali kepada adat suku kaum itu untuk melakukan keputusan bagi mengelak percanggahan dan perselisihan,” katanya.

Saiful Zahlan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Peningkatan Profesionalisme Pemimpin Masyarakat Orang Asli Negeri Pahang 2019 di Kuantan hari ini, yang dihadiri Pengarah Jakoa negeri Johari Alwi.

Dua ratus pemimpin masyarakat Orang Asli terdiri daripada Tok Batin dan Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) dari seluruh Pahang menyertai program dua hari yang berakhir hari ini.

Jakoa juga menurut Saiful Zahlan, sedang dalam proses mendokumentasikan cara pelantikan Tok Batin mengikut adat 18 suku kaum Orang Asli yang ada di negara ini.

Saiful Zahlan mengakui terdapat Tok Batin yang dilantik memiliki taraf pendidikan yang rendah tetapi ia bukanlah sebab untuk mempertikaikan pelantikan itu, sebaliknya tindakan sewajarnya boleh diambil untuk meningkatkan tahap profesionalisme mereka.

“Fungsi Tok Batin adalah lebih meluas pada masa kini, iaitu turut meliputi perkara berkaitan pembangunan, ekonomi, keselamatan dan sebagainya berbanding tertumpu kepada kebudayaan dan adat resam sahaja pada waktu dahulu.

Bagi mengelakkan kredibiliti dan peranan Tok Batin terus dipertikai segelintir pihak, kerajaan telah akan terus mengadakan pelbagai program seperti hari ini, yang melibatkan cara pentadbiran dan pengurusan kampung daripada pelbagai aspek,” katanya. – Bernama, 19 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen