JABATAN Bomba dan Penyelamat Sarawak berdepan cabaran sukar untuk memadamkan kebakaran hutan seluas 400 hektar di Sri Aman sejak tiga hari lalu, kini berjaya dikawal, kata pengarahnya, Khiruddin Drahman.
Menurut Khiruddin, dengan arahan daripada jawatankuasa pengurusan bencana negeri untuk memadamkan kebakaran itu “secepat mungkin”, beliau mengerahkan 32 anggota daripada balai bomba daerah Kuching dan Bau, sebagai tambahan kepada 36 anggita daripada balai bomba Sri Aman.
Asap daripada kebakaran berhampiran Kampung STC, ditambah dengan jerebu yang ditiup dari Kalimantan, menyebabkan bacaan kualiti udara mencatatkan paras bahaya di Sri Aman sejak beberapa hari lalu.
Setakat tengah hari ini, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) bagi kawasan itu adalah 212 iaitu sangat tidak sihat. Selasa lalu, ia mencatatkan bacaan 395 iaitu pada tahap bahaya.
Ketua bahagian operasi jabatan berkenaan, Tiong Ling Hii bagaimanapun berkata, jumlah anggota yang dikerahkan masih tidak mencukupi.
Selepas meletakkan anggota dalam simpanan untuk menangani kecemasan lain dan dalam syif, terdapat hanya 20 anggota untuk memadam kebakaran dalam syif 12 jam, kata Tiong
Jabatan berkenaan menjalankan operasi pemadaman sepanjang masa.
“Kami telah meminta bantuan daripada anggota agensi lain, seperti tentera, namun terdapat masalah birokrasi,” kata Tiong.
“Masa sangat suntuk dan kami masih diminta untuk membuat permohonan bertulis.”
Jabatan berkenaan cuba mengatasi masalah itu dengan meminta pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri, Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah, untuk mengeluarkan beberapa arahan.
Operasi pemadaman terpaksa dijalankan menerusi darat kerana pesawat Bombardier CL-415 milik Jabatan Maritim hanya dapat membantu operasi pada Sabtu ini berikutan ia sedang diselenggara.
Pesawat berkenaan digunakan untuk operasi pemadaman pada Rabu namun dihentikan kerana jarak penglihatan tidak jelas dan mengalami masalah kerana air di Sungai Batang Lupar surut jadi kita ambil keputusan untuk mengambil air dari Sungai Lingga.
“Kita tidak dapat bezakan air dan lumpur yang terdedah berikutan air surut. Semuanya nampak sama, berwarna coklat,” kata Tiong, yang turut menaiki pesawat berkenaan. – 19 September Ogos, 2019.
Komen