MENTERI Perpaduan Kim Yeon Chul pada Khamis berkata ketegangan tentera rentas sempadan antara kedua-dua Korea telah menyaksikan penurunan ketara berikutan pelaksanaan perjanjian yang dimeterai pada sidang kemuncak mereka tahun lepas, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
Kim membuat kenyataan itu dalam satu majlis di Seoul bagi meraikan ulang tahun pertama sidang kemuncak ketiga antara Korea yang dihadiri Presiden Korea Selatan Moon Jae In dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Pyongyang tahun lepas.
Kedua-dua negara mengadakan tiga sidang kemuncak, termasuk pertemuan terkini dalam bulan September yang menyaksikan mereka bersetuju menghentikan tindakan permusuhan serta melakukan usaha mengurangkan ketegangan ketenteraan di Semenanjung Korea.
“Secara khususnya, ketegangan ketenteraan di Semenanjung Korea telah berkurangan dengan ketara berikutan pelaksanaan konkrit (perjanjian-perjanjian) dan keamanan yang benar-benar dirasai rakyat kami,” kata Kim.
“Semua tindakan permusuhan di darat, di laut dan udara telah berhenti dan peluang berlaku pertempuran yang tidak disengajakan antara Korea Selatan dan Korea Utara telah berkurangan dengan begitu ketara,” katanya.
Kim merujuk usaha bagi melucutkan senjata di bandar sempadan Panmunjom dan menghapuskan periuk api dari kawasan sempadan di pantai timur seperti yang dipersetujui dalam sidang kemuncak pada September.
Beliau turut menyoroti pembukaan laluan mendaki berhampiran sempadan itu kepada orang ramai dan berkata langkah tersebut merupakan simbol pertukaran ketegangan ketenteraan antara kedua-dua Korea kepada suatu ruang bagi keamanan dan kerjasama. – Bernama, 19 September, 2019.
Komen