China hantar pakar siasat kematian panda di Thailand


Chuang Chuang yang ditempatkan di Zoo Chiang Mai sejak Oktober 2003 mati Isnin lepas pada usia 19 tahun selepas bertahun-tahun hidup dalam kurungan penghawa dingin bersama panda betina, Lin Hui. – Gambar AFP, 19 September, 2019.

PAKAR China tiba di Thailand untuk menyiasat kematian seekor panda, kata pegawai zoo hari ini selepas jutaan warganet China mempersoalkan kematian tiba-tiba haiwan khazanah negara itu.

Chuang Chuang yang ditempatkan di Zoo Chiang Mai sejak Oktober 2003 mati Isnin lepas pada usia 19 tahun selepas bertahun-tahun hidup dalam kurungan penghawa dingin bersama panda betina, Lin Hui.

Pasangan itu dipinjamkan dari bandar Chengdu, China dalam “diplomatik panda” Beijing dan sepatutnya dipulangkan kembali pada 2023.

Panda boleh hidup sehingga usia 30 tahun dalam kurungan dan kematian mengejut Chuang Chuang menimbulkan persoalan tentang penjagaannya.

China “serta merta menghantar pakar panda” untuk menyiasat punca kematian, menurut kenyataan dikeluarkan zoo hari ini dan pasukan kerjasama China-Thailand akan menjalankan bedah siasat.

Pasangan panda itu menjadi kegilaan di Thailand dan beberapa video menunjukkan mereka bermesra tular di media sosial negara itu.

Hasil pembenihan tiruan, Lin Hui pada 2009 berjaya melahirkan Linping, yang disiarkan secara langsung 24 jam di saluran “Panda Channel”.

Berita kematian itu menimbulkan kemarahan warganet China, menarik perbincangan sehingga 260 juta orang di platform media sosial negara itu, Weibo.

Konsulat China di Chiang Mai, mengeluarkan gambar di laman web mereka semalam tentang pegawai China dan Thailand berkabung kerana kematian itu dengan meletakkan kalungan bunga berhampiran gambar panda di pintu masuk zoo. – AFP, 19 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen