Trump akan lantik penasihat keselamatan baharu


Donald Trump akan melantik utusan khasnya bagi hal ehwal tebusan, Robert O'Brien, untuk menjadi penasihat keselamatan kebangsaan selepas pemecatan mengejut John Bolton. – Gambar EPA, 19 September, 2019.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata beliau akan melantik utusan khasnya bagi hal ehwal tebusan, Robert O’Brien, untuk menjadi penasihat keselamatan kebangsaan selepas pemecatan mengejut John Bolton daripada jawatan itu, lapor agensi berita Rusia Sputnik.

“Saya dengan sukacita mengumumkan bahawa saya akan menamakan Robert C. O’Brien, yang kini berkhidmat sebagai Utusan Khas Presiden bagi Hal Ehwal Tebusan di Jabatan Negara dengan begitu cemerlang, sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan yang baharu. Saya sudah lama bekerja dengan Robert. Beliau akan melakukan tugasannya dengan baik!” kata Trump di Twitter pada Rabu.

O’Brien dinaikkan pangkat selepas mendapat pujian daripada Trump kerana berjaya membebaskan rakyat Amerika yang ditahan di negara lain seperti Korea Utara dan Turki.

Sebelum ini beliau memegang pelbagai jawatan dalam pentadbiran George W Bush termasuk wakil gantian AS di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum mengasaskan sebuah firma guaman swasta di Los Angeles, California.

O’Brien mengarang sebuah buku pada 2016 bertajuk “While America Slept: Restoring American Leadership to a World in Crisis” membandingkan perjanjian nuklear Iran dengan Perjanjian Munich yang memberi keberanian atau keyakinan kepada Adolf Hitler pada 1938, menurut New York Times. – Bernama, 19 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen