PAKATAN Harapan tidak meluluskan tender langsung untuk projek bangunan mencecah RM450 juta di Tunjong, Kelantan kerana projek itu telah diluluskan ketika pentadbiran Barisan Nasional dahulu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
PH berdepan kecaman hebat susulan terbongkar dokumen mencadangkan kontrak projek itu dibuat secara tender terus, kaedah yang bertentangan dengan janji perubahan pakatan pemerintah itu.
“Awak tengok memo itu, apa yang ditulis adalah penerusan projek itu yang sudah diberikan kepada syarikat itu.
“Apa yang saya kata adalah syarikat tersebut bersedia mengurangkan kos, dan jika ia adalah penerusan projek terdahulu.
“Saya tidak rasa ia rundingan terus, ia hanya penerusan projek,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Pada Ahad, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii mendedahkan dokumen sulit dialamatkan kepada Pejabat Perdana Menteri yang menyatakan Kementerian Kewangan telah bersetuju dengan syarat untuk menyerahkan kontrak projek itu kepada syarikat PDM Builders Sdn Bhd.
Ditanya sekiranya beliau sudah bertemu Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk berbincang isu itu, katanya: “Saya belum berjumpanya, tetapi saya akan berjumpa.”
Lim sebelum ini berkata beliau tidak tahu tentang rundingan terus itu.
Semalam, Malaysiakini melaporkan yang perbincangan kelulusan projek itu dibuat pada pentadbiran Najib Razak.
Surat kontroversi bertarikh 26 Julai itu yang tular di media sosial, menyatakan bahawa Kementerian Kewangan secara asasnya bersetuju dengan pelantikan syarikat tertentu menerusi rundingan terus untuk pembinaan bangunan gunasama persekutuan di Tunjong, Kota Bharu. – 19 September, 2019.
Komen