Kementerian tunggu laporan kes data penumpang Malindo Air, kata Gobind


Diyana Ibrahim

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo maklum mengenai kebimbangan orang ramai mengenia kebocoran data dan akan mengambil tindakan wajar selepas terima laporan lengkap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2019.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia masih menunggu laporan siasatan mengenai kebocoran data penumpang syarikat penerbangan Malindo Air, kata menteri Gobind Singh Deo.

Katanya kementerian maklum mengenai kebimbangan orang ramai berhubung kes itu dan berharap laporan itu dapat diberikan kepadanya secepat mungkin untuk menilai tindakan selanjutnya.

“Saya tunggu laporan dulu, dan selepas teliti laporan itu baru saya akan buat kenyataan

“Biarpun kita tidak menetapkan had masa tapi saya harap laporan itu dapat disegerakan,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Maklumat peribadi yang bocor itu melibatkan berjuta-juta penumpang syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia, Lion Air dan anak syarikatnya termasuk Malindo Air.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malindo Air Chandran Rama Muthy, lapor South China Morning Post semalam.

Maklumat peribadi yang terdedah itu termasuk maklumat pasport, alamat rumah dan nombor telefon penumpang.

Bagaimanapun, tiada pengumuman rasmi di akaun Twitter Malindo Air dan Lion Air mengenai berita kebocoran data itu.

Laman web Bleeping Computer semalam melaporkan maklumat peribadi penumpang syarikat penerbangan itu tersebar menerusi forum pertukaran data sejak sebulan lalu. – 19 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen