Taufan Humberto membadai Bermuda


Penduduk di Bermuda dilanda taufan Humberto Kategori 3 dengan angin kuat dan hujan lebat. – Gambar EPA, 19 September, 2019.

PENDUDUK di wilayah kecil British di kepulauan Bermuda dilanda taufan Humberto Kategori 3 dengan angin kuat dan hujan lebat.

Pusat Taufan Nasional AS berpangkalan di Miami (NHC) berkata ribut dengan kelajuan 120km sejam melanda utara Bermuda pada 9 malam waktu tempatan dengan maksimum angin 195km sejam.

Ribut itu dijangka melalui utara Bermuda hari ini, membawa hujan lebat dan ribut petir.

“Taufan Humberto berbahaya,” kata pusat kaji cuaca Bermuda.

Kerajaan menasihati rakyat untuk tidak keluar hingga cuaca lebih baik esok. Pusat perlindungan kecemasan turut dibuka di sekolah menengah terbesar Bermuda, Cedarbridge Academy.

Tetapi pihak berkuasa mereka tidak menjangkakan keadaan buruk berlaku.

“Kami tidak menjangkakan kerosakan besar. Taufan ini hanya lalu saja,” kata koordinator bencana Bermuda, Steve Cosham.

Musim taufan Atlantik yang berlangsung hingga hujung November, semakin kuat sejak beberapa minggu terakhir.

Taufan Dorian melanda Bahamas menyebabkan sekurang-kurangnya 52 terbunuh, dengan ratusan lagi masih hilang.

Ribut tropika Jerry terbentuk di lautan dan dijangka menjadi taufan dalam minggu ini. Setakat ini, keadaan pantai masih selamat. – AFP, 19 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen