Kuasa Netanyahu tergugat, pilihan raya Israel buntu


Pemerintahan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu kini tergugat selepas pilihan raya umum menyaksikan kedudukan seri dengan pencabar terdekatnya, Benny Gantz. – Gambar EPA, 19 September, 2019.

PEMERINTAH sekian lama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu kini tergugat selepas pilihan raya umum menyaksikan keputusan undinya seri dengan pencabar terdekatnya, Benny Gantz.

Keadaan itu mengukuhkan lagi kemungkinan rundingan dilakukan bagi pentadbiran negara perpaduan atau mungkin juga berakhirnya pemerintahan panjang perdana menteri Israel itu.

Antara isyarat menunjukkan desakan rundingan itu mungkin diadakan, seorang sumber di pejabat Netanyahu memberitahu beliau membatalkan perjalanan ke Perhimpunan Agung PBB di New York minggu depan, kerana “konteks politik” di Israel.

Beliau dijadualkan bertemu “rakannya” Presiden Donald Trump di luar perkumpulan antarabangsa itu, bagi membincangkan perjanjian pertahanan antara dua sekutu itu.

Tetapi perdana menteri paling lama berkhidmat itu kekal berada dalam negara dan sedang berjuang untuk mengekalkan kuasanya.

Dengan lebih 95% kertas undi sudah dikira, calon berhaluan kanan parti Netanyahu, Likud menang 32 kerusi, sementara Gantz mendapat 33 kerusi dalam 120 kerusi Parlimen Israel.

“Hanya ada dua pilihan, kerajaan dipimpin oleh saya atau kerajaan berbahaya yang bergantung pada parti-parti Arab,” kata Netanyahu pada sidang akhbar di Jerusalem malam tadi.

“Pada masa ini terutamanya, ketika kita berdepan cabaran besar dalam isu keselamatan dan politik, tidak boleh ada kerajaan yang bergantung pada parti Arab anti-Zionis,” katanya. – AFP, 19 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen