Pelajar Muslim di Thai berang polis minta maklumat dari universiti


Kumpulan pelajar Islam di Thailand gesa polis hentikan arahan meminta universiti memberi maklumat tentang pelajar Muslim dan aktiviti mereka. – Gambar fail AFP, 19 September, 2019.

KUMPULAN pelajar Islam di Thailand menggesa polis menarik balik arahan meminta universiti memberikan maklumat “risikan” tentang pelajar Muslim dan aktiviti mereka di negara majoriti Buddha itu.

Umat Islam membentuk kumpulan agama kedua terbesar di Thailand, dengan majoriti berada di tiga negeri paling selatan, di mana sejak 2004 banyak konflik berlaku antara pemisah Melayu-Islam dan pihak berkuasa Thailand.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa Thailand menghapuskan populasi Melayu-Islam di wilayah itu.

Minggu lalu, Biro Cawangan Khas mengeluarkan arahan di seluruh negara kepada universiti, untuk memberikan maklumat risikan tentang pelajar Islam dan aktiviti mereka di kampus, kata jurucakap polis Krissana Pattanacharoen.

Berita itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat dan Persekutuan Pelajar Islam Thailand menggesa Parlimen membatalkan arahan itu.

Arahan Cawangan Khas itu juga satu diskriminasi yang melanggar perlembagaan, kata presiden persatuan itu Ashraf Awae.

Katanya, persatuan itu sudah mendengar polis meminta maklumat tentang kumpulan pelajar Islam dari sekurang-kurangnya tiga universiti utama.

Ketua Junta yang kini Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha mempertahankan Cawangan Khas dan nafi sedang membangunkan “pangkalan data” yang boleh melanggar hak asasi rakyat.

Sokongan Prayut itu menunjukkan Islamofobia semakin berkembang di Thailand, kata badan hak asasi manusia Sunai Phasuk. – AFP, 19 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen