KEBAKARAN besar di sekolah tahfiz di Liberia menyebabkan sekurang-kurangnya 26 pelajar dan dua guru maut apabila api marak di asrama mereka, dalam insiden terburuk di negara Afrika Barat itu.
Semua pelajar lelaki terbabit sedang tidur ketika kebakaran bermula, kata jurucakap polis Moses Carter, menambah kerosakan elektrik mungkin punca insiden itu.
Presiden George Weah melawat tempat keadian di Paynesville, di pinggir ibu kota Monrovia, dan berkata punca kejadian belum diketahui.
Pejabat Presiden berkata 26 pelajar berumur antara 10 dan 20 tahun bersama dua guru, maut. Jurucakap polis berkata 27 pelajar terkorban.
Pada pagi semalam, presiden negara berjiran Guinea, Alpha Conde berkata beberapa warganya maut dalam kebakaran itu.
Anggota penyelamat yang memakai topeng muka dan sarung tangan membawa mayat kanak-kanak dalam beg dari bangunan yang rentung.
Semua mangsa selamat dikebumikan.
Pihak berkuasa Liberia biasa dengan kematian akibat kebakaran, lazimnya berpunca daripada generator rosak, tetapi insiden kali ini jumlahnya terlalu besar, kata jurucakap presiden.
Majoriti rakyat Liberia beragama Kristian tetapi terdapat minoriti Muslim. – AFP, 19 September, 2019.
Komen