Pendirian parti bukan Melayu Sarawak dipersoal berhubung kerjasama PAS, Umno


Desmond Davidson

Ketua PKR Sarawak Baru Bian mempersoalkan pendirian parti komponen BN bukan Melayu dan bukan Islam di negeri itu berhubung kerjasama antara Umno dan PAS. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2017.

PEMIMPIN Pakatan Harapan Sarawak mempersoal pendirian parti bukan Melayu dan bukan Islam dalam gabungan Barisan Nasional di negeri itu berhubung kerjasama Umno dengan PAS.

Persoalan itu timbul selepas ahli majlis tertinggi parti BN yang mengetuai negeri itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata beliau mengalu-alukan kerjasama itu sekiranya ia menjadikan BN lebih kuat pada pilihan raya umum ke 14. 

Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga menteri pelancongan, kesenian, kebudayaan, belia dan sukan Sarawak berkata, beliau menyokong cadangan kerjasama Umno-Pas sekiranya ia menyatukan rakyat Malaysia dan mengukuhkan pakatan pemerintah. 

Ketua PKR negeri Baru Bian berkata, selepas disindir dan dikutuk oleh Adun BN pada sidang Dun sebelum ini berhubung kerjasama mereka dengan PAS, “Saya terfikir bagaimana parti BN yang lain melihat cubaan Umno untuk memujuk parti Islam itu”.

“Apa yang menarik perhatian saya adalah bagaimana parti komponen BN yang lain di Sarawak melihat perkembangan ini dalam politik negara,” katanya merujuk kepada Parti Rakyat Sarawak, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif. 

Katanya, walaupun DAP dan PKR membantah dan bertegas berhubung agenda hudud PAS ketika mereka masih dalam pakatan, mereka masih disindir dan dikutuk. 

Agenda hudud PAS membuatkan mereka keluar daripada pakatan di Sarawak dan perpecahan pakatan pembangkang lama iaitu Pakatan Rakyat.

Dengan PBB, yang memegang lebih daripada separuh kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, menyokong tindakan Umno, Adun Ba Kelalan mempersoalkan sama ada parti BN yang lain juga berpendirian sama mengalu-alukan kerjasama itu.

“Apa pendirian anda tentang agenda hudud PAS? Tidakkah kamu menyedari kenyataan yang dibuat oleh ketua penerangan Umno Annuar Musa bahawa Umno dan PAS mempunyai DNA dan matlamat yang sama iaitu untuk memperkasakan Islam dan Melayu?

Katanya, walaupun PAS berada dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PKR tegas menentang cubaan parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam, dengan membentangkan usul RUU355. 

“Kami tidak memenangi mana-mana kaum atau agama. Sebaliknya kami menegakkan keadilan dan hak semua rakyat dalam negara sekular ini sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan parti BN Dayak yang lain mengambil pendekatan yang sama dengan kami, atau mereka melihat agenda hudud PAS boleh diterima?”

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata DAP negeri, yang turut dipengerusikannya melihat kejasama itu, sekiranya berlaku, sebagai “kombinasi yang paling teruk yang dapat dibayangkan”.

“Ia adalah gabungan perkauman dan ketaksuban agama yang melampau.”

Ahli Parlimen Bandr Kuching itu juga berkata kerajaan yang dipimpin Umno sudah sedia teruk dan pakatan Umno-PAS boleh jadi “lebih teruk”.

Ia akan"melampaui imaginasi”, katanya hari ini.

Chong turut mempersoalkan SUP, mengapa parti itu masih berdiam diri dengan perkembangan terbaharu politik yang sebelum ini ia sangat lantang terhadap PAS. 

Katanya, tindakan berdiam diri itu menunjukkan SUPP dan parti BN yang lain hanya akan menurut apa sahaja keputusan dan dasar yang dibawa oleh Umno. – 13 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen