PRESIDEN Iran Hassan Rouhani hari ini berkata serangan ke atas loji minyak Arab Saudi adalah satu “amaran” kemungkinan berlaku perang yang lebih besar sebagai tindak balas terhadap campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam konflik di Yaman.
“Rakyat Yaman…tidak menyerang hospital, sekolah, mereka juga tidak menyerang pasar Sanaa. Mereka hanya menyerang pusat industri..untuk memberi amaran kepada kamu,” kata Rouhani selepas mesyuarat kabinet hari ini.
“Ambil pengajaran daripada amaran ini dan pertimbangkan kemungkinan akan berlaku perang di rantau ini.”
Rouhani dipercayai merujuk kepada pemimpin Arab Saudi yang membelanjakan berbilion dolar untuk membeli senjata dari AS.
Pemberontak Houthi mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan itu tetapi pegawai AS semalam berkata pentadbiran Presiden Donald Trump merumuskan senjata Iran digunakan dalam serangan tersebut.
Arab Saudi yang terlibat dalam perang lima tahun di Yaman berkata senjata yang digunakan dalam serangan itu adalah buatan Iran tetapi tidak terus menyalahkan musuh tradisinya itu.
Tehran banyak kali menafikan tuduhan AS dan Riyadh yang ia membekalkan senjata kepada pemberontak Houthi.
Sabtu lalu, loji minyak milik syarikat Arab Saudi, Aramco di Abqaiq dan Khurais diserang, menjejaskan pengeluaran minyak negara itu. – AFP, 18 September, 2019.
Komen