Serangan loji minyak: Pompeo bakal berkunjung ke Arab Saudi, UAE


Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo akan berlepas ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan serangan ke atas loji minyak utama di Arab Saudi. – Gambar EPA, 18 September, 2019.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo akan berlepas ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan serangan ke atas loji minyak utama di Arab Saudi, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Jabatan Negara AS hari ini.

Pompeo akan berkunjung ke bandar Jeddah, Arab Saudi dan Abu Dhabi, UAE, mulai 17 hingga 19 September, menurut kenyataan itu.

Di Jeddah, diplomat tinggi AS itu akan bertemu Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bagi membincangkan isu serangan ke atas loji minyak negara tersebut baru-baru ini dan usaha bagi mencegah pencerobohan Iran di rantau itu.

Di Abu Dhabi, Pompeo akan mengadakan perbincangan dengan Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi, UAE berkaitan isu dua hala dan serantau.

Lawatan Pompeo dibuat selepas serangan pada Sabtu ke atas loji pengeluaran minyak di timur Arab Saudi yang telah menimbulkan kebimbangan berkaitan situasi keselamatan di Timur Tengah dan kemungkinan berlaku kenaikan harga minyak di peringkat global. – Bernama, 18 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen