Sesi ke-74 Perhimpunan Agung PBB bermula 


Sesi ke 74, perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula di ibu pejabat badan dunia itu di New York.– Gambar EPA, 18 September, 2019.

SESI ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula di ibu pejabat badan dunia itu di New York pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua.

Tijjani Muhammad-Bande, presiden Perhimpunan Agung PBB bagi sesi itu, telah mengisytiharkan pembukaan bagi sesi 2019-2020 badan dunia tersebut.

Dalam ucapan pembukaan bagi mesyuarat pleno, Muhammad-Bande meminta tindakan yang dilakukan adalah sejajar dengan tema Debat Umum tahun ini iaitu “Galvanizing multilateral efforts for poverty eradication, quality education, climate action and inclusion.”

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam ucapannya menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk meyakinkan penduduk dunia bahawa PBB adalah relevan kepada semua dan multilateralisme menawarkan penyelesaian sebenar kepada cabaran global.

Perhimpunan Agung adalah antara enam organ utama PBB dan satu-satunya yang menyaksikan semua negara anggota mempunyai wakil yang setara.

Debat Umum pada permulaan setiap sesi dianggap sebagai perhimpunan terbesar pemimpin dunia. Tahun ini, sejumlah 143 ketua negara dan kerajaan dipercayai telah mendaftar untuk berucap pada minggu peringkat tinggi.

Sesi ke-74 Perhimpunan Agung PBB akan turut menampilkan acara berprofil tinggi lain termasuk Sidang Kemuncak Tindakan Iklim dan mesyuarat peringkat tinggi berkaitan liputan kesihatan sejagat. – Bernama, 18 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen