SEBUAH pesawat kargo yang membawa 4 orang penumpang dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan pada Rabu, menurut pihak berkuasa.
Pesawat Twin Otter DHC6-400, berlepas dari bandar Timika pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan, menuju ke Ilaga, sebuah wilayah pergunungan terpencil di wilayah Papua dan dijadualkan tiba 50 minit selepas berlepas.
“Selepas 2.5 jam, tiada maklumat daripada lapangan terbang terdekat mengenai lokasi pesawat berkenaan, kami membuat keputusan untuk mengumumkan pesawat berkenaan terputus hubungan,” kata ketua agensi pengangkutan tempatan, Yan Purba kepada Metro TV.
Pesawat berkenaan membawa tiga anak kapal dan seorang penumpang bersama muatan 1.7 tan beras.
Operasi mencari dan menyelamat dimulakan bagi mengesan pesawat berkenaan yang melakukan penerbangan ketika cuaca baik, kata Purba.
Indonesia bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan udara bagi menghubungkan ribuan pulau, namun kawasan pergunungan di Papua sukar untuk diakses.
Negara berkenaan memiliki rekod keselamatan penerbangan yang tidak baik dan Papua merupakan wilayah yang memberi masalah kepada penerbangan berikutan keadaan pergunungan dan cuaca yang tidak menentu.– AFP, 18 September, 2019.
Komen